‘ALLAH MUHAMMAD MUHAMMAD ALLAH’ (AMMA) - KEMUNCULAN AJARAN SESAT BARU DI MALAYSIA PERLU DIAWASI SEBELUM MENJADI SEPERTI BARAH MERACUNI AKIDAH UMAT ISLAM

 

Ajaran sesat adalah suatu ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam, serta turut menghakis atau menafikan asas kebenaran akidah Islam, merangkumi antaranya perkara-perkara berunsur syirik, mengaku menjadi tuhan, menolak konsep kenabian, penyatuan diri dengan tuhan dan mengaku sebagai Imam Mahdi.

Begitulah konsep ajaran yang terbaru muncul di Malaysia ini iaitu ajaran Noor Hisham Alias atau lebih dikenali sebagai Allah Muhammad Muhammad Allah (AMMA). Ajarannya boleh dikategorikan sebagai sesat kerana merangkumi konsep yang ditetapkan di atas. Secara khususnya elemen-elemen kesesatan di dalam ajaran AMMA ini adalah seperti berikut:
i. Menterjemah kalimah syahadah kepada ‘tiada nyata hanya Allah’ tanpa penjelasan yang sebenar;
ii. Mendakwa ajaran Islam sebenarnya telah diseleweng pada 850 Masihi;
iii. Menganggap ayat al-Quran berkemungkinan tersalah tulis kerana pada waktu itu kitab suci ditulis di atas kulit dan tulang binatang;
iv. Al-Quran ada dua bentuk iaitu al-Quran hidup (dalam diri manusia) dan al-Quran bertulis (mushaf);
v. Mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak dilantik menjadi Rasul;
vi. Menganggap Rasulullah SAW seorang yang lembab kerana tidak mampu membaca dan menulis pada usia 40 tahun.

Sesungguhnya ideologi-ideologi tersebut amatlah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saidina Huzaifah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai fitnah yang berlaku pada akhir zaman, baginda SAW menjawab bahawa ketika itu, muncul kelompok manusia yang enggan menjadikan Sunnah dan ajaran tinggalan baginda SAW sebagai sumber beragama. Baginda Rasulullah SAW turut memberi gambaran, pada akhir zaman juga akan muncul sekelompok manusia (pendakwah) yang akan menjerumuskan ummah ke dalam api neraka dan kelompok manusia tersebut adalah sebahagian daripada umat Islam sendiri.

Justeru itu, hindarilah sifat taksub kepada seseorang. Sikap taksub merupakan unsur terpenting memunculkan dan membantu perkembangan ajaran sesat. Permulaan kepada penyembahan berhala juga berpunca daripada sifat mendewa dan mengagungkan manusia, terbukti semenjak permulaan penyembahan berhala sebelum zaman Nabi Nuh AS, yang pada asalnya bermula dengan sifat ingin menghormati kematian orang soleh tetapi akhirnya bertukar menjadi bahan pemujaan. Justeru itu, hindarilah ajaran-ajaran seperti AMMA ini kerana ianya satu perbuatan yang bukan sahaja mengancam akidah, namun juga mengancam keselamatan negara.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –OGOS 2023, Sinar Harian – 23 OGOS 2023


Comments