ASAS PEMILIHAN PEMIMPIN PUNCAK KEPADA PENYAMBUNGAN SILATURAHIM IKATAN PERSAUDARAAN SESAMA ISLAM


Masih lagi di dalam ‘mood’ atau suasana Pilihanraya Negeri (PRN) yang baru sahaja berlangsung kira – kira seminggu lalu. Alhamdulillah, proses pilihan raya yang menjadi antara ciri sistem demokrasi berjaya dilangsung dalam situasi aman dan harmoni. Meskipun, kita tidak nafikan pelbagai kekecohan dan cerita kurang menyenangkan timbul semasa tempoh berkempen, namun masyarakat negara kita masih terus mengekalkan kedamaian dalam kehidupan.

Walau apa pun keputusan dalam pilihan raya ini, semua pihak terlibat secara langsung mahupun kita selaku rakyat biasa yang menjadi pengundi sewajar sentiasa bersikap berlapang dada dan reda dengan keputusan pilihan raya itu. Dalam hal ini, usahlah lagi dilanjutkan bibit persengketaan sebaliknya bersamalah kita kembalikan kehidupan bersatu hati berpadu jiwa untuk menyambung semula yang telah retak. Yang retak, kita eratkan semula. Hal itu kerana kebersamaan hidup dalam situasi berharmoni tidak lain adalah 'ibu' kepada kesejahteraan hidup.

Seharusnya, dalam waktu ataupun tempoh bertenang ini semua pihak mengembalikan semangat untuk kekalkan rentak hidup berharmoni. Kembalikanlah suasana aman saling bermesra sesama manusia usah terbawa-bawa dengan luahan emosi yang berpanjangan. Bak kata peribahasa orang dahulu, 'buang yang keruh, ambil yang jernih.' Inilah sahaja jalan yang sejajar dengan anjuran Islam yang akar tunjangnya mahu menghidupkan ukhuwah tanpa diretak. Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (QS al – Luqman: 18).

Justeru dalam hal ini, kita sebagai umat Islam berkewajipan untuk memantapkan sikap muafakat. In shaa Allah dengan kembali hidup dalam muafakat, Allah akan melimpahkan rahmat dan berkatNya. Ambillah pengajaran daripada ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan semua pihak memainkan peranan dalam menyambung silaturahim demi menjaga keamanan, mengangkat martabat negara dan membela nasib rakyat. Inilah masanya buat kita semua tanpa mengira darjat dan peringkat untuk bersama-sama membantu negara menjayakan setiap agenda pembangunan. Tentu mustahil kelangsungan menggerakkan pembangunan ke arah mensejahterakan dan memakmurkan rakyat mampu diterjemah dengan sempurna tanpa adanya kerjasama kita sebagai rakyat. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kalian bersikap rendah hati hingga tidak seorang pun yang bangga atas yang lain dan tidak ada yang berbuat aniaya terhadap yang lain." (HR Muslim).

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments