‘CONTENT’ AKTIVITI PARANORMAL DI MEDIA SOSIAL - GUNAKANLAH KEMAHIRAN BERMEDIA SOSIAL DENGAN ‘CONTENT’ YANG BERMANFAAT KEPADA AGAMA ISLAM DAN UMMAH

 

Pada hari ini, begitu ramai sekali pembuat kandungan atau popular disebut sebagai ‘content creator’ di media sosial cenderung memilih kandungan berunsurkan paranormal untuk dijadikan ‘content’ mereka dalam meraih ‘like dan gift’ daripada penonton. Namun apa yang mendukacitakan, ada sebilangan daripada mereka yang dikatakan menipu tentang hasil kandungan mereka dengan mewujudkan jelmaan entiti demi menampakkan adegan tersebut betul lalu menerima pelbagai ‘gift’ yang mewah daripada penonton hasil daripada rakaman langsung ataupun ‘live’ mereka. 

Dalam satu sesi soal jawab di siaran Youtube Ustaz Don Daniyal, penceramah tersebut mengemukakan tiga sebab mengapa ‘content’ paranormal ini perlu dijauhi oleh umat Islam. Yang pertama, umat manusia dilarang sama sekali untuk melibatkan diri dengan alam ghaib, atau lebih tepat disebut mencari hantu. Ini kerana manusia dan makhluk halus ataupun bangsa jin mempunyai tanggungjawab di alam masing – masing atau istilah lain disebut sebagai taklif. Jadi, apabila kita dengan sengaja melibatkan diri ke alam ghaib maka kita secara tidak langsung telah mengganggu ‘tugas’ mereka. Hal ini juga telah dipesan oleh almarhum Tuan guru Ustaz Haron Din semasa hayatnya. Firman Allah SWT: 

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (QS Az – Zariyat: 56).

Kedua, kebarangkalian untuk menipu dan ditipu itu sangat besar. Namun, kesannya lebih terarah kepada penonton yang mungkin ditipu oleh si ‘content creator’ tersebut. Jadi mengapa kita biarkan diri kita ditipu dengan ‘content’ yang sebegitu? Ketiga, soal mencari rezeki melalui ‘content’ paranormal. Mungkin ramai yang akan berkata itu sahaja cara mereka mencari rezeki dan ini ‘periuk nasi’ mereka. Mohon maaf sekiranya artikel ini sedikit lancang dalam menegur, akan tetapi mengapa perlu memilih untuk menghasilkan ‘content’ sebegini demi sesuap nasi? Artikel ini tidak memukul rata kesemua ‘content creator’ paranormal, tetapi berkat kah hidup kita jika menipu dalam menghasilkan ‘content’? mengada – adakan perkara yang sebenarnya tidak ada? Hanya kerana ‘gift’ yang lumayan, maka kita memilih jalan pintas untuk bekerja?

Gunakanlah kemahiran bermedia sosial kita dengan menghasilkan ‘content’ yang memberi manfaat kepada agama Islam dan ummah. Bukan sahaja kita akan dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT, sekiranya ‘content’ yang dihasilkan itu dikongsikan oleh ramai orang, kebaikan kita akan sentiasa mengalir dan sudah tentu Allah SWT menempatkan nama kita sebagai salah seorang daripada penghuni syurgaNya. Tidakkah kita mahu seperti itu? Jadilah ‘content creator’ yang memberi manfaat kepada agama dan ummah dalam usaha meraih keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik – baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.” (HR Ibnu Hibban).

Sumber: Youtube / Ustaz Don TV (https://www.youtube.com/watch?v=TzOXjronE4E)


Comments