“FAHAMAN SAYA BENAR, YANG LAIN SESAT” – SUHAINI MUHAMMAD @ SI HULK : DZAT, SIFAT DAN PERBUATAN ALLAH SWT TIDAK BOLEH DIBANDINGKAN DENGAN MAKHLUK
Sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran Nabi Muhammad SAW, al – Quran dan As – Sunnah, sudah tentu kita telah diajarkan tentang keagungan Allah SWT beserta sifat dan dzat – dzatnya yang tidak boleh sama sekali untuk dibandingkan dengan makhluk ciptaanNya. Allah SWT mempunyai dzat, sifat, dan nama-nama terindah serta terlindung daripada sifat kelemahan, kekurangan atau kecacatan. Ini seperti yang diterangkan dalam surah al – Ikhlas, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud:
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Ayat diatas sudah terang dan nyata menunjukkan bahawa sifat dan dzat Allah SWT ini sama sekali tidak boleh dibandingkan. Lalu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Suhaini Muhammad atau Si Hulk ini boleh dianggap adalah qiyas yang batil dan jauh terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Selain daripada pemesongan dzat – dzat Allah SWT, huraian beliau berkaitan makna dua kalimah syahadah juga jelas songsang malah menyesatkan kerana beliau bukan saja tidak mampu memahami serta menghuraikan maksud dua kalimah syahadah, bahkan gagal menterjemah maksud yang jelas Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Selain itu, seruannya supaya kita merujuk makna dua kalimah syahadah kepada orang bukan Islam terlalu dangkal serta beliau tiada hujah ataupun dalil bagi memberi justifikasi dakwaannya bahawa Allah itu adalah Muhammad atau Muhammad itu adalah Allah. Realitinya, semua dalil al-Quran, sunnah, Ijmak dan Qiyas membuktikan Nabi Muhammad SAW itu adalah hamba dan pesuruh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)…” (QS al – Isra’: 1).
Begitu juga dengan dalam ayat pertama surah al-Kahfi, Allah secara jelas menyifatkan Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya. FirmanNya:
“Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)”.
Kesimpulannya, himpunan ayat suci al-Quran dan hadis membuktikan kepada kita Nabi Muhammad itu manusia istimewa serta terpilih sebagai hamba Allah, nabi dan penutup segala Rasul AS. Apa yang boleh diperkatakan di sini, kenyataan Suhaini Muhammad atau Si Hulk ini adalah kenyataan yang berunsurkan kekafiran. Kekafiran pertama kerana mendakwa Allah adalah Muhammad manakala kekafiran kedua ialah apabila dia mendakwa Nabi Muhammad adalah Allah SWT, iaitu dia beranggapan Allah menyerupai makhluk serta mendakwa makhluk adalah Allah SWT.
Sumber: Dr Zamihan Mat Zin Al- Ghari, Harian Metro (6 Ogos 2023).
Comments
Post a Comment