HEDONISME (KESERONOKAN MATLAMAT UTAMA DALAM HIDUP) DAN FAHAMAN SONGSANG DALAM HIBURAN TERUS DITAPIS - BUKTI KETEGASAN PEMIMPIN MALAYSIA DALAM MEMELIHARA NILAI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN
Rentetan dari peristiwa konsert Good Vibes 2023 dan aksi tidak bermoral kumpulan muzik daripada Britain, The 1975 di Malaysia bulan lalu, ia membuktikan bahawa sememangnya hedonisme dan fahaman songsang akan terus dikekang oleh Kerajaan Malaysia dengan begitu tegas. Secara literal, hedonisme daripada perkataan Greek iaitu hedone 'pleasure' + ism, boleh dijelaskan sebagai cara pemikiran yang memberi keseronokan yang diterima oleh masyarakat umum atau bermaksud mencapai kemuncak keseronokan ‘pleasure is the highest good’.
Penularan budaya hedonisme dalam kalangan masyarakat bukanlah merupakan satu fenomena yang baharu, bahkan telah lama berkembang di Eropah Barat sekitar kurun ke-14 hingga 15 dan kemudian budaya tersebut merebak ke seluruh dunia. Menurut perspektif yang lain, hedonisme merupakan satu doktrin yang memberi dorongan motivasi kepada seseorang untuk bertindak mencapai keseronokan atau kebahagiaan dan mengelakkan unsur-unsur yang boleh mendatangkan kesedihan.
Sama ada kita sedar ataupun tidak, budaya hedonistik telah menodai dan merosakkan kehidupan manusia yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai agama dan norma-norma masyarakat. Kesannya, ia akan melahirkan manusia yang di dalam dirinya meletakkan simbol keseronokan dan kemewahan yang berlebihan menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian.
Dalam hal hiburan, Islam tidak menghalang umatnya untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Namun, kecenderungan yang berlebihan kepada kesenangan dan hiburan menjadikan manusia leka, lalai dan alpa dengan tipu daya dunia. Malah, Islam telah menetapkan petunjuk dan garis panduan untuk dijadikan pedoman dan sempadan supaya dipatuhi oleh semua manusia daripada terjebak dan dipengaruhi iblis dan syaitan yang sentiasa mencari jalan menyesatkan manusia. Firman Allah SWT:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir." (QS al-An'am: 32).
Perlu ditegaskan pendirian masyarakat Malaysia terhadap insiden negatif semasa festival muzik Good Vibes 2023 sangat jelas dan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekehkan agama serta melanggar undang-undang Malaysia. Sewajarnya dalam menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara, semua pihak perlu waspada dan tidak sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan agama, adab dan nilai budaya tempatan. Dengan tindakan ‘gam’ yang dikenakan kepada The 1975, ia membuktikan ketegasan pemimpin Malaysia dalam memelihara nilai Agama Rasmi Persekutuan bagi Malaysia. Allah SWT berfirman:
"Sedarlah wahai orang yang lalai, (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya)." (QS al-Qiyamah: 20-21).
Sumber: Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Comments
Post a Comment