INSIDEN NAHAS PESAWAT DI ELMINA - HENTIKAN SEBARAN AIB TERHADAP MANGSA NAHAS DAN HORMATI HAK SERTA PERASAAN WARIS
Baru – baru ini negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati apabila sebuah pesawat peribadi yang membawa seramai enam orang penumpang dan dua krew penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi telah jatuh terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis lalu. Insiden tersebut telah mengorbankan 10 nyawa termasuk dua pengguna jalanraya. Video berkenaan insiden terbabit mula tular di serata media sosial dan ada di antara video – video terbabit sangat ngeri untuk dipertontonkan.
Artikel kali ini ingin mengajak semua umat Islam untuk mengambil iktibar agar segera menghentikan penyebaran video – video berkenaan dengan nahas terbabit bagi menjaga perasaan dan menghormati hak peribadi para waris mangsa – mangsa yang terlibat. Ini kerana menurut mantan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al – Bakri berkata, ianya haram untuk kita menyebarkan video atau gambar mangsa yang terlibat dalam keadaan tragis dan mengaibkan kerana ia akan melukakan hati keluarganya dan juga secara tidak langsung juga melibatkan maruahnya. Sabda Rasulullah SAW:
“Hak setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram (bagi mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” (HR Muslim).
Ingatlah, perbuatan menyebarkan aib orang lain termasuk dalam sunnah sayyiah yang berdosa jika diteruskan oleh orang lain. Daripada Jarir bin Abdullah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun, dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.” (HR Muslim).
Peliharalah adab kita sebagai umat Islam dan hormatilah hak dan perasaan para waris tragedi kapal terbang terhempas di Elmina. Jika kita menghormati hak sesama Muslim, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjat kita dalam menjadi Muslim yang terbaik. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan membiarkan muslim lain dianiaya. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (Hr Bukhari)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment