ISLAM ITU MUDAH DAN INDAH UMAT ISLAM HARUS BERSAMA – SAMA BERGANDING BAHU DALAM MENANGANI ISU ISLAMOFOBIA


Setiap hari semakin banyak dakyah dan ideologi yang cuba dibawa oleh puak anti Islam bagi menyebarkan keburukan Islam dan cuba mengaitkan agama Allah SWT ini dengan keganasan. Namun, pada hakikatnya mereka tidak sedar bahawa merekalah yang memulakan keganasan itu dengan sengaja menimbulkan provokasi yang melampau. Seperti insiden pembakaran al – Quran yang berlaku di hadapan kedutaan Mesir dan Turki di Copenhagen, Denmark, beberapa minggu selepas insiden yang sama berlaku di Sweden. 

Islamofobia ini bukanlah satu perkara yang baru, ia telah dimulakan sejak tahun 1980 an. Akan tetapi ia mula menjadi semakin berkembang semenjak insiden 11 September 2001. Ketika itu juga, media arus perdana di negara-negara Barat khususnya, menjadikan Islamofobia semakin serius dalam kalangan masyarakat dengan membawa naratif-naratif yang mengelirukan tentang Islam hingga ke hari ini. Dalam hal ini, salah tanggapan mereka terhadap Islam boleh diatasi dengan cara umat Islam sendiri memainkan peranan dalam menunjukkan keindahan Islam melalui tindakan dan tutur kata. Perlakuan dan tindakan umat Islam sebenarnya adalah menjadi cerminan kepada Islam. Lazimnya, mereka yang salah faham dan dimomokkan dengan imej negatif tentang Islam, tidak akan mencari kebenaran tentang keindahan Islam dari sumber sahih dalam Islam, buku-buku ilmiah atau individu Muslim, walaupun ada sebilang kecil yang berbuat demikian. 

Seharusnya kita perlu ada usaha dalam kalangan umat Islam sendiri untuk membuktikan kepada kelompok ini bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang disangkakan. Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat yang benar tentang Islam. Usaha menzahirkan kecintaan kita kepada Islam dan memperbetulkan persepsi yang salah tentang Islam amat penting. Teliti kembali akhlak dan peribadi Rasulullah SAW dalam menghadapi golongan penentang Islam yang sentiasa cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan Islam dan maruah Rasulullah SAW. Baginda sentiasa membalasnya dengan sopan santun dan lemah lembut. 

Umat Islam di seluruh dunia hendaklah mengambil sikap berhikmah menghadapi cabaran Islamofobia yang masih berleluasa. Pendekatan dakwah boleh membantu dalam menangani Islamofobia. Penerangan yang agresif mesti digerakkan oleh pertubuhan dakwah seluruh negara dan dan penggunaan bahasa dakwah pelbagai yang sesuai dengan kefahaman masyarakat Islam hendaklah diperluaskan bagi memberi kefahaman dan penjelasan terhadap ajaran serta nilai luhur agama Islam sebenar. Pada masa kini, revolusi teknologi maklumat hendaklah dimanfaatkan bagi memastikan dakwah dan penerangan mengenai hakikat sebenar agama Islam disebarkan merentasi masyarakat bukan Islam.

Buktikan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam yang sebenar begitu indah kalau dihayati. Islam adalah kehidupan bagi umatnya, justeru pembelaan terhadap Islam dan Rasulnya ini adalah satu manifestasi kecintaan dan ibadat seorang hamba kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, umat Islam haruslah memastikan bahawa sebarang tindakan yang dilakukan dalam menghadapi provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu, akan menjadikan Islam dipandang lebih mulia dan dihormati dan bukan sebaliknya. Peranan umat Islam untuk menangani Islamofobia ini adalah amat penting dan harus menjadi usaha bersama agar keutuhan umat Islam sebagai satu jemaah menjadi satu simbol kekuatan dan kebenaran Islam.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments