ISU ‘LIVE’ NIQABIS DI TIKTOK DENGAN PERLAKUAN TIDAK SENONOH DEMI HADIAH Bernilai - MARUAH WANITA BUKANLAH UNTUK DIINJAK
Dengan kecanggihan teknologi masa kini, ditambah pula dengan kehadiran pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok membuatkan semua umat manusia tidak mahu ketinggalan daripada arus perdana hari ini. Apatah lagi dengan adanya platform media sosial yang boleh menjana pendapatan menerusi siaran langsung ataupun mudah disebut sebagai ‘Live’, membuatkan semua manusia berlumba – lumba untuk menjana pendapatan mereka dengan mudah.
Namun apa yang menyedihkan adalah penyalahgunaan ‘Live’ di media sosial oleh sesetengah golongan khususnya golongan wanita Muslimah yang mengenakan niqab. Ini kerana kecoh di semua media sosial tentang seorang wanita yang berniqab melakukan siaran ‘Live’ di aplikasi TikTok dengan menunjukkan auratnya dan berkelakuan tidak senonoh demi meraih ‘give’ yang bernilai. Ini sesuatu yang amat melampau dan menjatuhkan imej semua wanita berniqab dan istiqamah dalam melindungi auratnya secara bersungguh – sungguh kerana Allah SWT.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW memperingatkan wanita agar menjaga aurat sepertimana disebut dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud:
“Ada dua golongan ahli neraka yang tidak pernah aku lihat sebelumnya; sekelompok orang yang memegang cambuk seperti ekor sapi yang dipakai untuk mencambuk manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang.” (HR Muslim).
Ingatlah, maruah seorang Muslimah bukan untuk dinjak – injak. Sudah lupakah kita bagaimana perjuangan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan hak wanita daripada terus ditindas oleh Arab kafir Quraisy? Mengapa hari ini kita mensia – siakan pengorbanan Rasulullah dengan berbalik semula ke arah kehidupan seperti seorang jahiliyyah?
Sebagai seorang wanita perlulah menanam sifat malu dalam diri dan menjaga maruah diri dari dipandang hina oleh masyarakat. Biarpun kita kekurangan di luaran, namun sempurna luar dan dalam disisi Allah SWT. Selain itu, kita sesama wanita perlu menghormati satu sama lain dan menjaga kehormatan seorang wanita dengan sebaiknya. Dari Abdullah bin 'Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah." (HR Muslim).
Sumber: Portal daily Hijrah (https://dailyhijrah.com/maruah-wanita/)
Comments
Post a Comment