ISU PERMOHONAN WANITA KELUARGA MUALLAF UNTUK MURTAD - KEPUTUSAN MAHKAMAH SIVIL MENYOKONG KEPUTUSAN MAHKAMAH SYARIAH BERI AMARAN TIDAK MEMANDANG ENTENG PERMASALAHAN AKIDAH

 

Kisah seorang wanita yang dibesarkan di dalam keluarga bapa yang muallaf mula mendapat perhatian apabila membuat cubaan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang tidak membenarkan dirinya untuk murtad ke Mahkamah Rayuan Sivil di Wilayah Persekutuan. Walaubagaimanapun, Mahkamah Rayuan Sivil telah menolak rayuan tersebut kerana mahkamah syariah adalah lebih kompeten untuk dalam menjalankan bidang kuasa ekslusifnya untuk menentukan isu berkaitan pembatalan agama.

Dalam kes ini, tindakan wanita tersebut dapat digambarkan seolah-olah memandang enteng bidang kuasa mahkamah syariah yang terhad dan berasa mampu beroleh keputusan yang memihak kepada kehendaknya jika dicabar keputusan mahkamah syariah tersebut ke mahkamah sivil. Sedangkan isu-isu berkaitan permasalahan akidah atau agama secara jelasnya memberi kelayakan ekslusif kepada mahkamah syariah untuk membicarakannya. Selain itu, ia juga menggambarkan bahawa masyarakat sudah mula berani untuk menunjukkan sifat keterbukaannya untuk mengisytiharkan diri sebagai seorang yang sudah keluar dari Islam dalam sebuah negara yang majoritinya beragama Islam.

Pengisytiharannya secara terbuka untuk murtad dan berani mencabar keputusan kes sebegini dikhuatiri mampu memberi kesan kepada keharmonian dalam negara jika tidak ditangani dengan sebaiknya. Adalah satu hikmah apabila mahkamah sivil menolak rayuan wanita tersebut, maka masyarakat harus sedar bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya untuk memandang enteng terhadap mahkamah syariah atau memperkotak-katikkan keputusan yang dibuat berkaitan permasalahan akidah. Seharusnya permasalahan akidah perlu ditangani sebaiknya supaya terus terpelihara dari mana-mana individu, kumpulan-kumpulan atau fahaman yang memesongkan umat Islam. 

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –OGOS 2023 dan Harian Metro – 28 OGOS 2023


Comments