Apabila kita berbicara mengenai malam Jumaat dan hari Jumaat, sudah pasti sebagai umat Islam kita mengetahui akan amalan yang perlu dilakukan dan fadilat dari amalan tersebut. Malam Jumaat sangat dekat di hati umat Islam. Ia satu malam yang "istimewa" dan kita dianjurkan membuat amalan-amalan seperti yang ada dalam sunnah Rasulullah SAW. Manakala hari Jumaat ialah hari besar yang dikhususkan kepada umat Islam sahaja. Dengan keagungan hari Jumaat, ia memperlihatkan perbezaan antara umat Islam dengan umat lain yang mempunyai hari kebesaran masing-masing, yakni hari Sabtu untuk orang Yahudi dan hari Ahad untuk orang Nasrani.
Hari Jumaat dipanggil sebagai sayyidul ayyam atau penghulu segala hari kerana hari tersebut mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri. Ini seperti mana yang dinyatakan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari yang paling agung di sisi Allah, ia lebih besar di sisi Allah dari Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri…” (HR Ibnu Majah).
Antara amalan yang boleh dilakukan pada hari tersebut adalah:
1) Membaca surah Al – Kahfi. Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi pada dua waktu tersebut Allah mengampuni dosanya dari Jumaat ke Jumaat. Ianya diberi cahaya kesucian oleh Allah antara Jumaat ke Jumaat. Sabda Rasulullah SAW:
“Siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka disinari Allah baginya dengan antara dua Jumaat.” (HR Baihaqi).
2) Membaca surah Al – Sajadah dan Al – Insan. Dianjurkan untuk membaca kedua – dua surah ini pada hari Jumaat. Ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang berkata:
"Nabi Muhammad saw biasa membaca pada solat subuh pada hari Jumaat 'Alam Tanzil…' (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan Hal ataa 'alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro (Surah al-Insan) pada rakaat kedua." (HR Muslim).
3) Membersihkan diri pada hari Jumaat.
4) Berselawat ke atas Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:
"Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barang siapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga)." (HR Baihaqi).
5) Memperbanyakkan doa. Berdoalah memohon kepada Allah SWT agar diberikan keampunan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Pada hari Jumaat ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang Muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah swt, pasti Allah swt akan memperkenankan permintaannya itu.” (HR Bukhari).
Semoga dengan amalan ini, hidup kita sebagai hamba Allah SWT akan lebih diberkati dan dirahmati dunia dan akhirat.
Sumber: Kolum Hidayah, Berita Harian Singapura (24 Jun 2021)
Comments
Post a Comment