KEJAHILAN ATEISME!!! IDEOLOGI HUMANISME DAN SEKULARISME MENJADI ASAS KESESATAN GOLONGAN ATEIS BERGANTUNG KEPADA AKAL DAN MENOLAK KETUHANAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasminya, namun agama lain juga bebas untuk dianuti oleh setiap masyarakat yang pelbagai bangsa sepertimana terangkum dengan jelas dalam Perlembagaan Negara. Namun, di arus modernisasi ini pelbagai gejala telah berjaya menembusi pemikiran masyarakat sehingga ia mampu menggugat akidah umat Islam dan Perlembagaan itu sendiri.
Antara gejala tersebut ialah fahaman ateis iaitu satu aliran pemikiran yang berpegang kepada ideologi humanisme dan sekularisme. Humanisme adalah fahaman yang menekankan peranan akal fikiran, budi pekerti, keintelektualan, martabat manusia dan kemampuannya sendiri atau dengan kata lain manusia berhak menentukan nasibnya sendiri dengan kekuatan diri sendiri. Hal ini bermaksud humanisme diperkenalkan untuk menafikan kewujudan dan kekuasaan tuhan yang akhirnya memisahkan manusia daripada agama. Begitu juga dengan sekularisme, fahaman ini turut memisahkan urusan agama dan ketuhanan dalam kehidupan seharian.
Dengan berpegang kepada humanisme dan sekularisme dalam kehidupan, golongan ateis mempercayai bahawa manusia hanya dapat mengembangkan diri dan masyarakatnya melalui kebebasan dan kegiatan yang dianggap rasional atau boleh diterima akal sahaja. Berdasarkan penyataan tersebut, dapatlah difahamai bahawa mereka tidak mempercayai tentang peranan tuhan dalam kehidupan mereka dan sekaligus menolak kewujudan tuhan. Justeru itu, sama-samalah berwaspada dengan ideologi yang cuba disebarkan meskipun pengaruhnya semakin melebarkan sayap dan menganggu-gugat akidah umat Islam kononnya atas paksi rasionalisme dan kebebasan.
Sumber: Jurnal al-Hikmah, Jilid 15(1)
Comments
Post a Comment