KONTROVERSI LAGU “BAD RELIGION” NYANYIAN FRANK OCEAN - BUKTI ISLAMOFOBIA SEMAKIN DIPROPAGANDAKAN OLEH PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Sejak kebelakangan ini, tular sebuah video berkenaan isu sebuah lagu yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi Afrika – Amerika, Franck Ocean yang bertajuk “Bad Religion” pada tahun 2019. Kontroversi mula terbit apabila lagu ini dmuatnaik semula oleh seorang penyanyi sebuah kumpulan pop ternama daripada Korea Selatan, BTS yang menggambarkan lagu itu seolah – olah memberi ketenangan di dalam dirinya. Akibat daripada ‘posting’ tersebut, beliau menerima kecaman kerana mempromosikan Islamofobia dan tidak menghormati peminatnya beragama Islam.
Lagu “Bad Religion” yang diterbitkan pada tahun 2019 menyebut di dalam liriknya seperti “And you say, ‘Allahu akbar’, I told him, ‘Don’t curse me’” serta “If it brings me to my knees, It’s a bad religion”. Ia seolah – olah menggambarkan bahawa lafaz ‘Allahuakbar’ itu melambangkan satu perkataan mencarut dan pergerakan solat itu adalah satu perlakuan yang buruk dari agama Islam. Keadaan ini bukanlah perkara yang baharu malah propaganda Islamofobia ini sudah semakin menjadi – jadi sejak tragedi 11 September 2001 yang menyasarkan Islam dengan gambaran keganasan.
Dalam hal ini seharusnya semua umat Islam sedar bahawa inilah bukti dan realiti yang dihadapi dalam menjatuhkan Islam dengan memainkan sentimen Islamophobia di kalangan masyarakat dunia bukan Islam agar menjauhi agama ini kerana agama ini sangat tidak bertepatan dengan logik akal manusia. Sebagai umat Islam, kita mestilah berusaha memerangi ideologi Islamofobia ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah menyediakan pendidikan tentang Islam dan pengalaman masyarakat Islam boleh membantu menghilangkan mitos dan salah faham serta menggalakkan pemahaman dan rasa hormat yang lebih besar.
Selain itu, menggalakkan pemeriksaan kritis terhadap perwakilan media arus perdana mengenai pembuatan akhbar dan liputan berita tentang agama Islam supaya dapat mempromosikan liputan lebih tepat dan seimbang. Kemudian, membina jambatan antara komuniti agama yang berbeza melalui dialog, kerjasama dan sokongan bersama supaya boleh membantu memupuk persefahaman dan rasa hormat antara masyarakat yang mempunyai kepercayaan berbeza.
Ingatlah, agama bukan untuk dijadikan bahan jenaka dan bahan sindiran. Setiap agama mengamalkan toleransi dan bertimbang rasa di antara satu sama lain. Hayatilah sebaris lirik lagu “Perang Dah Tamat” nyanyian kumpulan nasyid tanah air, Rabbani bersama Malique yang menyatakan “semua agama Ibrahim aman hidup bersama”. Ini bermakna semua agama itu menggalakkan perdamaian dan bukannya menggalakkan permusuhan, ini termasuklah agama Islam yang begitu mengutamakan ukhuwah kepada setiap umat manusia. Firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (QS al – Hujurat: 13).
Sumber:
1) Blog Wadah Utara (http://wadahutara.blogspot.com/2017/02/abdul-halim-ismail-hidup-bersama-secara.html)
2) Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Comments
Post a Comment