MENGAKU ISLAM TETAPI MENGAMALKAN AMALAN LGBT?! JANGAN ‘HALALKAN’ APA YANG TELAH DIHARAMKAN OLEH ALLAH SWT


Fenomena Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender ataupun LGBT di kalangan rakyat Malaysia pada hari ini semakin membimbangkan. Apa yang lebih menakutkan adalah perlakuan ini juga turut menerima sokongan daripada sebahagian umat Islam yang kononnya mengatakan mereka ini adalah golongan Islam moden yang menerima segala perkara dengan keterbukaan. Yang sebenarnya, LGBT ini lebih terarah kepada permasalahan kecelaruan seksual dan jantina. Malah, Allah SWT sudah menjelaskan permasalahan homoseksual sudah lama berlaku dalam kalangan umat Nabi Lut AS.

Perbuatan homoseksual terbabit jelas perkara yang keji sebagaimana firman Allah SWT:

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." (QS Al – A’raf: 81).

Isu LGBT di Malaysia kini dilihat semakin hari semakin membimbangkan. Apatah lagi wujudnya video mempromosikan amalan ini secara terang – terangan di pelbagai platform media sosial seperti yang viral baru – baru ini apabila beredarnya video perkahwinan sejenis antara lelaki sesama jantina. Namun apa yang mengejutkan adalah mereka mengaku bahawa mereka ini merupakan penganut agama Islam. Dalam video tersebut pasangan itu dilihat berpegangan tangan di samping bertentangan mata disaksikan oleh juru nikah yang sedang membacakan surah al – Fatihah.

Perbuatan ini sangat melampau kerana keterbukaan yang dibawa oleh pengamal ataupun aktivis – aktivis LGBT ini digunakan atas alasan hak kemanusiaan yang tertindas. Dalam hal ini, merekalah yang menindas umat manusia dengan ideologi mereka dan mengakibatkan hak sesuatu jantina itu hilang. Sebagai contoh, di sebuah universiti di luar negara di mana sesetengah penuntutnya menentang keras amalan LGBT ini dengan alasan mereka hilang hak biasiswa. Biasiswa yang sepatutnya diberikan khusus buat pelajar wanita terpaksa bersaing dengan golongan LGBT dalam memperoleh biasiswa tersebut. Di negara kita, contoh yang paling dekat adalah tuntutan hak oleh golongan LGBT untuk menggunakan tandas wanita bagi golongan transgender. Adakah perkara ini adil?!

Jangan ‘menghalalkan’ apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT. LGBT bukanlah hak melainkan ia suatu yang dilaknat oleh Allah SWT. Adakah kita mahu bala Allah SWT datang kepada kita akibat kelalaian kita dengan nikmat dunia yang sementara? Bertaubatlah! Peluang untuk bertaubat masih terbuka luas bagi mereka yang menginginkannya. Dapatkanlah rawatan pakar bagi merawatnya melalui terapi kognitif dan lain-lain kaedah. Sebagaimana yang ditegaskan oleh pakar psikologi Muslim, Prof. Dr. Malik Badri; Homoseksual adalah satu penyakit jiwa dan tidak berkaitan dengan genetik. Masyarakat perlu membimbing golongan seperti ini dengan baik dan membantu mereka keluar daripada masalah. Sabda Rasulullah SAW:

“Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)”. (HR Ahmad).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments