WAHAI PARA MANUSIA YANG BERGELAR PEMIMPIN - PIKULLAH AMANAH DENGAN SEBAIKNYA KERANA IA MEMPENGARUHI CARA PENTADBIRAN

Ramai di antara kita bercita – cita tinggi untuk menjadi pemimpin, ada di antara kita sudah pun mendapat jawatan kepemimpinan, namun tidak semua mampu menunaikan amanah tersebut. Seseorang pemimpin adalah contoh kepada pengikutnya. Ketokohan dan keterampilannya yang penuh dengan akhlak mulia itu sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemerintahannya. Pemimpin yang menjadi contoh sepatutnya menunjukkan perilaku baik dalam kepemimpinan dan kehidupan hariannya. Antara sifat yang amat diperlukan dalam melaksanakan segala perkara yang dipertanggungjawabkan adalah sifat amanah.


Dalam erti kata lain amanah ialah tanggungjawab diterima seseorang, yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa tenteram, aman, terselamat dan harmonis. Firman Allah SWT:


"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (QS An – Nisa’: 58).


Sesungguhnya seseorang atau pemimpin yang mempunyai sifat amanah, tidak akan timbul di hatinya untuk melakukan sebarang pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara yang diamanahkan kepadanya. Amanah adalah perkara yang sangat penting dalam menentukan masa depan atau hala tuju sesebuah masyarakat. Dalam pembinaan masyarakat, amanah adalah antara nilai dan etika terpenting. Cirinya jelas tergambar dalam segala tindakan seperti menggunakan masa dengan sebaiknya, membelanjakan harta awam mengikut peraturan ditentukan selain tidak melakukan rasuah dan pembaziran serta menyiapkan kerja yang diamanahkan mengikut tempoh ditetapkan.


Ingatlah wahai mereka yang bergelar pemimpin, amanah itu adalah satu nilai terpenting dalam masyarakat kerana sifat masyarakat itu yang bergantungan atau memerlukan antara satu sama lain. Ini kerana dengan amanahlah akan mempengaruhi pentadbiran kita sama ada baik atau sebaliknya. Begitulah pentingnya amanah dalam membina masyarakat. Oleh itu, setiap individu dalam masyarakat hendaklah melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepatutnya hingga wujud saling memerlukan, berfungsi, memenuhi, membantu dan sama-sama dapat membentuk masyarakat aman, tenteram dan harmonis. Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya kepimpinan itu suatu amanah yang akan membawa kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali bagi orang yang mendapatkannya dengan kebenaran dan melaksanakan kewajipan – kewajipannya.” (HR Muslim).


Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Comments