BANDARAYA NEW YORK UMUM LAUNGAN AZAN SETIAP HARI JUMAAT DAN SEPANJANG RAMADAN BUKTI AGAMA ISLAM SEMAKIN DITERIMA DI NEGARA KUASA BESAR
Sekiranya kita mengingat kembali peristiwa 11 September 2001, pasti ia akan mendatangkan sejarah hitam di dalam diri kerana bermula dari saat itu agama Islam dipandang sebagai sebuah agama keganasan oleh negara – negara Barat terutamanya Amerika Syarikat. Namun, setelah 22 tahun peristiwa itu berlalu, buat pertama kalinya Datuk Bandar New York, Eric Adams mengumumkan bandar raya itu akan membenarkan laungan azan pada waktu yang ditetapkan setiap hari Jumaat dan sepanjang Ramadan.
Hal ini menurut beliau sudah terlalu lama wujud kekeliruan mengenai komuniti mana yang tidak dibenarkan untuk melaungkan azan mereka dan kerana itu beliau memutuskan untuk mengetepikan kerenah birokrasi dan menyatakan dengan jelas bahawa masjid dan rumah ibadat bebas untuk mengumandangkan azan pada hari Jumaat dan pada bulan Ramadan tanpa perlu memohon kebenaran.
Satu rahmat besar daripada Allah SWT kepada umat Islam di negara tersebut dan juga di seluruh dunia kerana setelah sekian lama bersabar dan menerima begitu banyak ancaman serta provokasi dari golongan Islampofobia, akhirnya hasil tersebut membuka mata Datuk Bandar negara ‘Uncle Sam’ untuk menamatkan segala bentuk birokrasi berkenaan.
Inilah janji Allah SWT kepada hambaNya yang bersabar. Setelah kita berhempas pulas memberi penerangan dan didikan berkenaan agama Islam adalah agama kedamaian dan bukan agama persengketaan, maka telah membuka hati segelintir warganegara Amerika sendiri untuk lebih mengenali Islam dengan lebih mendalam. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.” (QS Al – Zumar: 10).
Kini sudah terbukti bahawa agama Islam sedikit demi sedikit mendapat tempat di hati masyarakat negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Walaupun tidak seratus peratus, tetapi dengan pengumuman ini sudah jelas menggambarkan bahawa Islam semakin berkembang dan tidak lagi dipandang sebagai agama yang mempromosikan keganasan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/global/amerika-utara/2023/08/1004684/bandar-raya-new-york-benarkan-azan-pada-jumaat-ramadan#utm_source=insider&utm_medium=web_push&utm_campaign=new_york_benarkan_azan&webPushId=MTgyMDc=)
Comments
Post a Comment