Sudah menjadi tanggungjawab di dalam diri setiap umat Islam untuk menjaga diri dan keluarga dari ke dalam lembah keburukan dan kejahatan. Kebaikan keluarga akan berpengaruh kepada kebaikan masyarakat, dan kebaikan masyarakat akan berpengaruh kepada kebaikan negara. Kerana itulah agama Islam banyak memberikan perhatian terhadap masalah perbaikan keluarga. Di antara perhatian Islam adalah seorang lelaki yang merupakan ketua keluarga harus menjaga diri dan keluarganya dari segala perkara yang akan yang akan menyebabkan mereka terjerumus ke dalam api neraka. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (QS At – Tahrim: 6).
Peringatan keras ini memberikan kesan terhadap hati bagi setiap orang yang beriman supaya sentiasa patuh dan menuruti perintah dan larangan yang telah diputuskan Allah buat hamba-Nya. Kepatuhan dan tunduk terhadap hukum syariat Allah SWT mampu menyelamatkan insan dari kurungan api neraka yang sangat pedih.
Bagi mewujudkan kekeluargaan yang sentiasa selamat dan terhindar dari kerosakan nilai, adab dan syariat Allah SWT, hendaklah bagi seseorang yang diberikan amanah di dalam keluarga bermula dari suami/ayah, isteri/ibu serta anak-anak perlulah memainkan peranan penting bagi memastikan seluruh kehidupan berkeluarga memberikan dampak baik terhadap persekitaran dan membantu meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT seperti menyediakan ruang dan masa untuk sesi berhimpun bersama keluarga bagi memberi nasihat, mengajak anak-anak berhimpun di masjid bagi mengimarahkan masjid ataupun himpunan keluarga yang mampu memaknai dan membina nilai, adab dan menjunjung syariat Allah SWT.
Jika hal ini dapat dipenuhi dan ditekuni dengan mendalam sudah pasti ianya akan menatijahkan kesan baik dan murni di dalam jiwa insan. Seterusnya mampu membina satu keluarga yang diredai Allah SWT dan akan membawa kejayaan luar biasa di dunia lebih-lebih lagi kejayaan untuk bersama kekal di syurga yang disediakan Allah buat para hamba yang dikasihiNya.
Sumber: Portal almanhaj (https://almanhaj.or.id/22724-jagalah-dirimu-dan-keluargamu-dari-api-neraka.html)
Comments
Post a Comment