KEJAHILAN ATEIS MEMPERTIKAIKAN SYAFAAT NABI SAW!!! BERHATI-HATILAH SUPAYA TIDAK TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI SESAT ATEISME

 


Syafaat adalah suatu perkara yang telah dihuraikan di dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sebagai sokongan lain, para ulama juga telah menekankan kebenarannya dalam kajian-kajian ilmu kalam (teologi) mereka. Oleh sebab itu, tidak ada lagi alasan bagi seorang Muslim untuk mengingkarinya. Namun, sayangnya pada akhir zaman ini sering muncul aliran-aliran yang cuba untuk mengaburkan perkara ini dengan menyebarkan isu-isu negatif sehingga boleh mendatangkan keraguan di kalangan umat Islam yang lemah imannya lagi jahil agama terhadap kebenaran syafaat tersebut.
  
Sebagai contoh, menurut seorang bekas Muslim yang murtad dan kini mengisytiharkan dirinya ateis, Abu Yusuf Malizi bahawa proses memberi syafaat dikatakan suatu proses yang aneh kerana ia menunjukkan bahawa ada orang lain selain Allah yang mampu membuat proses rayuan dan cuba mengubah keputusan Allah dari satu keputusan kepada keputusan yang lain.

Orang yang dimaksudkan golongan ateis tersebut dirujuk kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menurut mereka menjadi perantara atau pemberi syafaat untuk memohon pengampunan bagi pihak orang yang sedang diadili tersebut. Pemahaman golongan ateis berdasarkan perkara tersebut menggambarkan bahawa Allah SWT itu tidak sehebat mana seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran kerana Allah itu boleh dipengaruhi mindanya, tidak tetap pendirian dan tidak mampu membuat keputusan yang sempurna.

Sedangkan konsep syafaat dalam Islam bukanlah begitu. Syafaat sangat diyakini oleh masyarakat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana dengan syafaat, orang yang mempunyai dosa besar dan seharusnya ditempatkan di neraka boleh berkurang masanya dengan pertolongan Nabi Muhammad SAW kerana pada saat hidupnya sentiasa membaca selawat ke atas Nabi. Namun demikian, ia tidak akan berguna sekiranya tidak mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Maka ayat-ayat al-Quran yang bersifat umum perlu difahami secara jelas, bukan hanya ditafsirkan melalui logik akal. Kesalahan fahaman terhadap sesuatu perkara yang telah jelas (qot'i) berkaitan dengan permasalahan akidah akan mengakibatkan kecelakaan yang besar kerana boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kesyirikan dan sesat.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia, Blog Abu Yusuf Malizi, Buku Konsep Syafaat Menurut Pandangan Muhammad Quraish Shihab


Comments