KES KEMATIAN SEMAKIN MENINGKAT - USAH TANGGUH BERTAUBAT

 

Setiap hari ada sahaja berita tentang kematian dilaporkan di dada – dada akhbar, baik kematian akibat kemalangan mahupun perbuatan jenayah. Adakalanya kita tidak sanggup untuk membacanya kerana merasakan ia sesuatu yang mengerikan. Misalnya, kemalangan di jalan raya semakin banyak berlaku. Tidak tergamak kita menyaksikan kejadian kemalangan yang ada sesetengahnya meragut nyawa seluruh ahli keluarga. Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Sudah tentu, kehilangan ahli keluarga dalam kemalangan di jalan raya meninggalkan kesan psikologi yang cukup mendalam. 

Apabila membaca laporan seperti itu, sudah pasti akan timbul keinsafan di dalam diri dan bertanya bagaiamanakah pengakhiran kita. Adakah kita sempat bertaubat sebelum ajal menjemput tiba? Artikel kali ini ingin mengajak semua umat Islam agar sentiasa mempersiapkan diri kita dengan melakukan taubat dengan sesungguh – sungguhnya sebagai persiapan buat diri kita sendiri. Firman Allah SWT:

“Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dengan taubat nasuha” (QS At – Tahrim: 8).

Setiap hari manusia tidak akan terlepas dan terhenti daripada melakukan dosa sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Jadi dosa kecil itu boleh dipadamkan dengan memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh. Ini kerana amalan soleh yang dilakukan itu boleh menjadi motivasi dan pemangkin kepada diri untuk berubah menjadi insan yang lebih baik selain berasa berdosa dengan kesilapan silam.

Ingatlah wahai umat Islam, pintu taubat itu sentiasa terbuka dan ditutup apabila matahari munculnya dari arah barat. Selagi diberikan oleh Allah SWT kesihatan dan kekuatan, lakukanlah taubat dengan bersungguh – sungguh kerana kematian itu juga tidak mengenal usia. Lakukanlah persiapan diri dengan menyiapkan segala amalan – amalan kebaikan untuk dibawa ke penghadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak. Usah tangguh dalam bertaubat kerana sedikit amalan kebaikan juga akan dikira di sisi Allah SWT.

Sumber: Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)


Comments