KUMPULAN AJARAN SESAT MENGGUNAKAN TAKTIK ‘MLM’ DAN PERUBATAN ISLAM SEBAGAI TOPENG MENGELIRUKAN UMAT ISLAM

 

Sejarah membuktikan bahawa pelopor ajaran sesat di Malaysia lazimnya merupakan individu beragama Islam yang membawa pengaruh ajaran yang diterima dari Timur Tengah, Indonesia atau Indo-Pakistan. Biarpun kerajaan berusaha menyemarakkan usaha dakwah menerusi pelbagai medium dan perancangan di segenap peringkat, namun masih ada kelompok yang berjaya menembusi golongan sasaran, terutama menerusi kaedah dan pendekatan tertentu seperti kaedah perniagaan mahupun perubatan Islam.

Sebagai contoh pernah wujudnya di Malaysia sebuah kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan konsep perniagaan ‘Multi-level Marketing’ (MLM) yang mensasarkan pengikutnya mencari ahli tambahan dan mendapat tebusan dosa jika berjaya menambah pengikut baru. Ada pula sebuah ajaran sesat yang dipelopor oleh seorang lelaki berusia 60-an yang menggelarkan dirinya sebagai Guru Yahu. Ajaran yang bertopengkan perubatan Islam ini telah mengajar pengikutnya berzikir sahaja tanpa perlu melakukan ibadat lain.

Dengan adanya undang-undang syariah, sedikit sebanyak dapat membantu dalam membendung ajaran sesat dari terus berleluasa. Sekurang-kurangnya usaha sebegini serta pengeluaran fatwa-fatwa oleh para alim ulama yang muktabar menjadi sebab akidah umat Islam terutamanya di Malaysia masih teguh disamping menjaga keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dari segala ancaman keselamatan. Hal ini terbukti berkesan, kerana jika terus dibiarkan berterusan kumpulan-kumpulan ajaran sesat bermaharajalela, nescaya ketaksuban tersebut mampu mencederungkan mereka ke arah keganasan. Belajarlah dari sejarah, janganlah biarkan ‘pisang berbuah dua kali’. Renung-renungkan.

Sumber: Jurnal Syariah, Vol. 18(2)


Comments