Walaupun hari kemerdekaan sudah berlalu hampir dua minggu, namun sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam perpaduan yang berbilang kaum kita tidak seharusnya melupakan nikmat kesyukuran yang dikurniakan oleh Allah SWT sepanjang 66 tahun Merdeka. Islam menekankan keharmonian dan keamanan untuk diri sendiri mahupun sesama umat Islam. Dalam Islam, soal perbezaan bukan halangan untuk manusia berbaik-baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu dengan yang lain sehingga mewujudkan keharmonian. Penghormatan kepada penganut agama lain telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa hayat Baginda dan pendekatan itu merupakan ajaran penting dalam Islam. Hal ini berasaskan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)." (QS Al – Hujurat: 13).
Selama enam dekad lebih negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan sejak tanggal 31 Ogos 1957 dulu, masyarakat kita yang pelbagai bangsa dan agama dapat menyusuri kehidupan dalam situasi yang harmoni dan aman tenteram. Namun dek kerana polemik dan propaganda sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, keharmonian itu seakan direntap. Seharusnya nikmat keamanan dan ketenteraman yang Allah kurniakan di negara kita yang permai dan makmur ini sangat tidak wajar kita gadaikan semata-mata kerana ingin tegakkan kehendak nafsu diri sendiri.
Dalam hal ini, kita seharusnya bersatu kekal memautkan ikatan ukhuwah ummah yang seeratnya. Ingatlah akan peringatan Allah sebagaimana terakam dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..”
Dalam sebuah negara yang penduduknya berbilang kaum dan anutan agama seperti negara kita, sikap saling hormat-menghormati, saling bertoleransi dan saling menjaga sensitiviti kaum yang lain adalah perkara asas yang akan menentukan keamanan masyarakat. Kita seharusnya berpegang kukuh terhadap perlembagaan negara dan menghormati hak di antara satu sama lain.
Ingat, jangan biarkan negara musnah disebabkan perebutan kuasa. Hargai dan peliharalah keamanan negara kerana keamanan adalah nikmat yang perlu disyukuri. Memporak- perandakan negara dengan pelbagai provokasi yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama pastinya satu tanda kurangnya rasa syukur atas nikmat yang Allah limpahkan kepada kita selama ini. Tergamakkah kita menjadi seorang yang kufur nikmat Allah SWT? Sabda Rasulullah SAW:
"Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara." (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)
Comments
Post a Comment