POLITIK DAN AGAMA PERLU BERSATU BAGI MERUNTUHKAN WABAK MURTAD DALAM KALANGAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA


Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah akan terhakis dari masa ke masa. Kemuncak krisis keyakinan terhadap Allah adalah tindakan seseorang ke arah murtad. Jika diselak sejarah, banyak nama yang sering bermain di bibir apabila membicarakan isu murtad dan membuktikan memang terdapat usaha memurtadkan orang Islam.

Sebahagian orang Islam pula seolah-olah sudah tidak lagi sensitif kepada orang Islam yang mahu murtad. malah terdapat sebilangan yang ‘membantu’ orang Islam murtad atas nama kebebasan beragama. Apabila kepekaan dalam isu murtad sudah tidak lagi wujud dalam diri orang Islam, lama-kelamaan murtad akan dilihat sebagai norma biasa berlaku di negara kita. Apabila sudah sampai ke tahap itu, sedarlah bahawa ianya sudah terlambat daripada menggunakan segala usaha bagi mengembalikan orang yang telah murtad ke jalan benar.

Sayangnya umat Islam ketika ini lebih seronok membicarakan hal ehwal politik daripada bersatu padu bekerjasama untuk melawan gejala merosakkan akidah umat Islam. Masing-masing mahu bergelar juara dan menafikan peranan orang lain yang tidak bersama. Mereka sahaja yang betul Islamnya dan sesiapa yang tidak menyertai organisasi mereka dianggap penentang. Inilah wabak yang sedang dihadapi umat Islam di Malaysia pada masa kini. Politik bukanlah tidak penting, malah kestabilan politik memberi jaminan keharmonian pada negara, namun janganlah tidak diambil cakna perihal akidah. Seharusnya politik dan agama tidak dipisahkan malah saling memerlukan sebagai panduan hidup dan kesejahteraan bersama.

Sumber: Penulisan Datuk Zainul Rijal – Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Comments