Esok merupakan satu hari yang istimewa buat umat Islam di mana kita akan menyambut hari kebesaran junjungan mulia, Rasulullah SAW. Sudah menjadi satu kewajipan bagi umat Islam di negara ini menyambut hari yang istimewa ini bersempena dengan tarikh kelahiran Baginda iaitu 12 Rabiul Awal iaitu bulan ketiga dalam takwim Hijrah, atau dalam takwim Masihi, Isnin, 20 April 571 M.
Namun, bukan sahaja sambutan yang perlu diberi perhatian, malah umat Islam sendiri disarankan untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh atau ‘role model’ ke dalam kehidupan pada hari ini. Sebagai contoh, hidup bermasyarakat dan mengukuhkan perpaduan antara satu sama lain. Ini kerana Baginda adalah sebaik – baik contoh kepada teras perpaduan ummah. Baginda mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang telah lama bersengketa berjaya didamaikan. Baginda juga memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah.
Dalam misi menyebar Islam Rasulullah SAW telah mengikat umat Islam dengan erat melalui konsep akidah, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Keprihatinan Rasulullah SAW terhadap ummah dapat dilihat di saat akhir hidupnya, ketika saat kewafatan, Baginda masih berpesan dan menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah SWT kerana Baginda merupakan seorang Nabi, Rasul, pemimpin yang sangat prihatin dan bertanggungjawab kepada ummah.
Namun, sikap segelintir masyarakat dan sesetengah pihak pada hari ini yang cuba untuk meruntuhkan perpaduan dan ukhuwah sesama manusia adalah sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bahkan, mereka lebih suka jika semua manusia berpecah – belah dan memusuhi di antara satu sama lain demi kepentingan peribadi. Bukankah Allah SWT telah memperingatkan kita agar sentiasa bersatu – padu dan mengukuhkan ukhuwah? Firman Allah SWT:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (QS Ali ‘Imran: 103).
Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 2023 / 1445 Hijrah dan bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, marilah kita bersama – sama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara. Marilah sama-sama kita menjaga amanah Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.
Hayatilah kembali perjuangan Rasulullah SAW dalam mempersatukan kembali umat Islam sebagai satu kesatuan yang kukuh dengan perpaduan yang kuat demi mencapai ukhuwah yang jitu. Salam Maulud Nabi.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment