TINDAKAN MURTAD ADALAH JENAYAH YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUMAN UNDANG-UNDANG


Golongan murtad dikategorikan sebagai individu yang melakukan jenayah terhadap agama. Ia boleh berlaku dengan dua cara iaitu murtad dari segi percaya kepada tuhan lain selain Allah dan mempercayai adanya rasul lain selepas Nabi Muhammad SAW. Berikutan itu, perlu adanya gabungan beberapa elemen penting termasuk pendidikan, dakwah dan penguatkuasaan undang-undang bagi mengatasi gejala murtad.

Ketidakseimbangan dalam pendekatan mengekang gejala murtad ini akan menyebabkan masalah ini berlarutan. Sebagai contoh, dakwah dan pendidikan dijalankan tetapi pada masa yang sama membiarkan pihak tertentu berterusan membuat provokasi terhadap agama Islam tanpa dikenakan tindakan undang-undang. Perkara seperti inilab yang akan menyumbang kepada gejala murtad dan mewujudkan suasana tidak harmoni sesama rakyat.

Biarpun tiada statistik yang jelas terhadap bilangan golongan murtad secara rasmi yang dikeluarkan untuk pengetahuan umum, namun hakikatnya keruntuhan moral dan akhlak khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam amat membimbangkan. Jika tidak ditangani sebaiknya, maka hilanglah Melayu di dunia, runtuhlah Islam jatuh ke tangan musuh Islam yang sentiasa menantikan kejatuhan agama dan umat Islam. 

Sumber: Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)

Comments