UMAT ISLAM PERLU PERKUKUHKAN BENTENG KEIMANAN DAN TIDAK TERPERDAYA DENGAN BUDAYA MAKSIAT

 

Sudah 66 tahun kita merdeka, seharusnya sebagai umat Islam kita perlu ‘bebas’ daripada budaya maksiat yang dibawa oleh negara luar masuk ke dalam negara kita. Sebagai negara yang mempunyai Agama Rasmi Persekutuan iaitu Islam, iman kita harus perkukuhkan lagi benteng keimanan kita sebagai Muslim. Merdeka bukan sahaja ertinya bebas dari belenggu penjajah, tetapi bagi umat Islam merdeka itu adalah yang bebas daripada kemurkaan Allah SWT dan keruntuhan akhlak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

"Mahukah kalian aku khabarkan tentang orang Mukmin, iaitu orang yang (membuat) orang lain berasa aman atas harta dan diri mereka, orang Muslim adalah orang yang (membuat) orang lain sejahtera daripada (bahaya) lidah dan tangannya, mujahid adalah orang yang memerangi nafsu dirinya dalam mentaati Allah dan muhajir adalah orang yang meninggalkan kesalahan- kesalahan dan dosa-dosa." (HR Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).

Seseorang Mukmin perlu memerdekakan jiwa daripada pengabdian diri kepada makhluk atau sesama manusia atau harta benda kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT dan itulah tujuan dan fungsi utama pengutusan Nabi SAW untuk berjuang memerdekakan jiwa hamba dengan hanya mengesakan dan mentauhidkan Allah SWT sejak dahulu kala. Setiap Mukmin perlu bercita-cita bukan hanya mahu merdeka di dunia sahaja, bahkan inginkan juga di akhirat supaya terlepas daripada perlakuan dosa syirik dan sebagainya yang mengakibatkan dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam neraka kelak.

Oleh itu, marilah bersama mengisi kemerdekaan dengan sesuatu yang lebih bermakna dan bermanfaat. Jauhilah setiap perkara yang membawa kepada maksiat dan perkukuhkanlah benteng keimanan kita kepada Allah SWT. Jauhilah diri daripada perbuatan maksiat, nescaya Allah akan sinari hati dengan ketakwaan. Allah SWT berfirman:

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (QS An – Nahl: 97).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments