FAHAMAN ISLAM LIBERAL UMPAMA MUSUH DALAM SELIMUT YANG MEMANIPULASIKAN PEMIKIRAN DAN AKIDAH UMAT ISLAM
Islam liberal merupakan suatu bentuk ancaman yang bertujuan untuk mengembalikan semula modenisme Islam pada abad ke-21. Ancaman ini dilihat lebih berbahaya berbanding dakyah Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya kerana ianya datang dari kalangan umat Islam sendiri. Fahaman yang berteraskan prinsip kebebasan individu tanpa sempadan ini bersikap terbuka terhadap idea-idea baru, tidak terikat dengan tradisi dan mengutamakan perbahasan menurut akal dan rasional.
Antara rujukan utama golongan berfahaman Islam liberal ini ialah buku Charles Kurzman yang bertajuk ‘Liberal Islam: A sourcebook’. Buku ini yang menghimpunkan karya 32 orang tokoh pemikir liberal semestinya dilihat secara umum sebagai penulisan seorang yang mengetengahkan pemikiran falsafah moden dan terbuka, namun secara halusnya ia dilihat sebagai suatu usaha untuk menerapkan unsur liberal dalam masyarakat.
Sesungguhnya jelas bahawa fahaman liberal ini berusaha mempersembahkan Islam secara rasional dan dilihat cuba mengubahnya imej Islam selari dengan kehendak Barat. Situasi ini jika dibiarkan berkembang boleh menimbulkan salah faham terhadap ajaran Islam dan akhirnya menyebabkan implikasi negatif terhadap akidah umat Islam. Pertembungan antara pendidikan Islam dengan fahaman Islam liberal sama ada di pusat-pusat pendidikan mahupun di alam maya dikhuatiri bakal mewujudkan situasi mengelirukan dan membawa kepada permasalahan akidah khususnya umat Islam di Malaysia.
Sumber: International Conference on Research in Islamic and Arabic Language Education -UKM
Comments
Post a Comment