HIBURAN DALAM ISLAM ADA BATASNYA JANGAN SAMPAI MELANGGAR SYARAK ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN


Jika kita lihat di dalam setiap paparan media sosial pada hari ini, banyak sekali terpampang video – video yang dimuatnaik memaparkan hiburan yang bercampur di antara lelaki dan perempuan yang tiada batas syaraknya sebagaimana yang digariskan di dalam panduan Islam. Tidak boleh dinafikan, berhibur merupakan fitrah semulajadi manusia dan ia merupakan suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan. Namun, sebagai umat Islam yang berpegang kuat kepada ajaran agamanya, ada perkara yang harus di jaga dan ada batas syarak yang perlu diikut.

Sebagai contoh hiburan yang bercampur lelaki dan perempuan ajnabi (yang halal untuk dinikahi). Kalau kita lihat begitu banyak sekali hiburan di dalam dunia ini yang melanggar batas syariat seperti konsert yang bercampur dan melalaikan.  Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan perempuan itu ditemani oleh mahramnya.” (HR Muslim).

Sebahagian besar daripada kita sudah pun mengetahui akan hukum pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi secara berlebihan. Perlu kita ketahui konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk membangunkan dan memdamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani. Melihat kepada realiti hiburan kita pada hari ini, dapat dirumuskan bahawa sebahagaian besar hiburan kita gagal mencapai matlamatnya. Bukan sahaja hiburan tersebut gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari kita, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan serta menggalakkan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. 

Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.” (HR Muslim).

Ingatlah, dalam kita berhibur jagalah batasan di antara lelaki dan perempuan. Jika perlu, carilah hiburan yang memisahkan jarak antara lelaki dan perempuan tanpa perlu adanya percampuran kedua jantina di dalam satu tempat. Buat para wanita, carilah hiburan yang tertutup yang hanya di hadiri di kalangan Muslimah sahaja. Ia perlu bagi mengelakkan timbulnya fitnah kepada kaum hawa. Firman Allah SWT:

"...dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya." (QS An – Nur: 31).

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)






 

Comments