IDEOLOGI ATEISME SESAT DAN PERLU DITOLAK KERANA MELANGGAR FITRAH MANUSIA YANG MEMPERCAYAI KEWUJUDAN TUHAN

 

Naluri fitrah semula jadi setiap manusia yang berakal adalah mempercayai kewujudan Tuhan. Dalam sejarah manusia, Nabi Adam as diakui oleh setiap agama Samawi sebagai manusia pertama diciptakan oleh Allah SWT dengan mempelopori tamadun terawal dunia. Nabi Adam as yang diutuskan sebagai seorang Rasul dan khalifah di muka bumi ini sudah tentulah baginda mengimani kewujudan Tuhan iaitu Allah SWT. Oleh sebab itu, manusia yang tidak mengakui kewujudan Tuhan seperti golongan ateis adalah manusia yang melanggar fitrah.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam ‘Fiqh al-Awlawiyyat’ mengkritik fahaman ateisme yang tidak mempercayai konsep ketuhanan, kenabian dan pembalasan hari kiamat. Mereka sama dengan golongan yang digambarkan oleh Allah SWR dalam Surah al-An’am, ayat 29, maksudnya:
“Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kira akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”

Ideologi ateisme ini bukan sahaja bercanggah dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, malah ideologi ini dianggap sebagai cuba untuk menyerang akidah umat Islam secara halus. Namun, sebagai rakyat Malaysia harus bersyukur kerana Malaysia adalah antara negara yang telah dilabelkan sebagai negara tidak mesra ateis semenjak tahun 2012 lagi, apabila mewajibkan setiap warga mendaftar status agama mereka secara rasmi. Perkara ini telah didedahkan dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh International Humanist and Ethical Union (IHEU) yang menyatakan bahawa golongan ateis atau ‘freethinker’ menyatakan bahawa mereka tidak boleh bergerak bebas dalam negara yang meletakkan agama sebagai dasar negara.

Justeru itu, bukaklah minda bahawa agama adalah ‘alat’ yang memandu kehidupan manusia dalam setiap tindakan dan tuturkata. Tiada agama yang menyuruh ke arah keburukan, namun yang membezakan setiap agama itu dengan agama Islam adalah iman dan akidah. Fitrah manusia itu beragama, dan agama yang terbaik adalah agama Islam.

Sumber: Buku Ateisme: Satu Penelitian Awal - JAKIM


Comments