KUASA NEGARA-NEGARA BUKAN ISLAM YANG LEBIH BESAR PUNCA TINDAKAN KEGANASAN MUSUH ISLAM DIBISUKAN, ISLAM DIDISKRIMINASIKAN

 

Sambutan Maulidul Rasul disambut bersempena dengan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ianya juga sebagai salah satu cara menunjukkan rasa cinta terhadap Rasulullah SAW dan berasa bangga dengan apa yang dibawa serta ditinggalkan kepada umat Islam sehingga kini. Namun, dalam meraikan hari mulia tersebut, ada sahaja musuh Islam yang berasa hasad pada umat Islam sehingga sanggup melakukan tindakan keganasan demi merosakkan hari kegembiraan umat Islam tersebut dan sebagai tanda benci pada Nabi Muhammad SAW.

Sebagai contoh, kejadian letupan yang berlaku di Pakistan baru-baru ini adalah ditujukan khusus kepada umat Islam ketika mereka sedang melakukan perarakan sempena Maulidul Rasul berhampiran sebuah masjid kawasan Kora Khan. Walaupun tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian keganasan ini, siasatan awal dipercayai ia adalah serangan nekad bom bunuh diri berlaku berhampiran kenderaan Timbalan Superintenden Polis yang sedang bertugas sehingga menyebabkan kematiannya dan 52 orang yang lain, manakala 50 lagi cedera.

Berdasarkan kejadian ini, dapatlah disimpulkan bahawa selama ini hanya umat Islam digembar-gemburkan sebagai pengganas sedangkan kumpulan yang melakukan keganasan itu berfahaman yang jauh terpesong dari ajaran Islam, namun disebabkan kumpulan pengganas tersebut bertopengkan Islam, maka habis tercemar nama agama dan umat Islam di mata dunia. Begitulah sebaliknya dengan kumpulan pengganas bukan Islam, sedangkan mereka adalah punca meletusnya sesebuah peperangan mahupun memporak-perandakan keharmonian sesebuah negara sehingga bukan sahaja mengancam keselamatan dunia, malah lebih kejam membunuh sesiapa sahaja yang menghalang misi mereka tanpa kompromi, jadi mengapa tindakan keganasan ini tidak dikutuk dan dikecam sepertimana timbulnya perkataan islamofobia? Diskriminasilah jawapannya. 

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – OKT 2023 dan Berita Harian – 29 SEP 2023


Comments