Bani Israel adalah anak-anak dan keturunan Nabi Yaakub a.s (12 orang anak) termasuklah Nabi Yusuf dan saudara-saudaranya. Daripada 12 orang inilah berkembang menjadi Bani Israel. Perkataan Israel juga adalah nama gelaran bagi Nabi Yaakub. Dalam al-Quran juga ada banyak disebut Bani Israel yang merujuk kepada anak-anak Nabi Yaakub. Secara Istilahnya Israel membawa maksud ‘Hamba Allah yang Taat’ atau ‘Tentera Allah’. Para nabi juga ramai daripada Bani Israel.
Dalam Bani Israel, mereka yang mengikut nabi pada zaman itu adalah dalam kalangan orang-orang yang beriman dan sebaliknya adalah mereka yang kufur. Kemudian, Bani Israel tidak digelar Bani Israel lagi selepas kenabian Rasulullah SAW, namun al-Quran memakai gelaran Yahudi terhadap mereka. Sebab itulah di dalam al-Quran, ada disebut Bani Israel dan ada juga disebut Yahudi. Yahudi menurut Ibn Qayyim adalah merujuk kepada golongan yang dimurkai oleh Allah SWT dan merujuk kepada kaum yang tidak beriman dengan kenabian Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, ayat-ayat al-Quran yang menyebut Yahudi adalah berbentuk celaan.
Bermula dari sini Yahudi menjadi kaum yang berkonsepkan agama bangsa. Bangsa yang berkelana di muka bumi dan tidak ada negara. Maka, pada tahun 1897, mereka dari kalangan Yahudi membuat satu gerakan bernama Zionisme. Inilah Zionis yang kita kenali sekarang. Zionis ini lebih kepada gerakan politik Yahudi yang sebenarnya adalah golongan pelampau agama dalam Yahudi dan menunggang agama dalam mencapai cita-cita mereka. Dari sudut politik, bagi mendapatkan sokongan orang-orang Yahudi maka mereka memperjuangkan ‘tanah yang dijanjikan’. Disitulah mereka memilih Palestin dan nama negara haram mereka dinamakan sebagai Israel.
Kesimpulannya, Bani Israel dan negara haram Israel adalah sesuatu yang berbeza. Cuma susur galur dan watak-watak mereka sepanjang zaman bermula dari Bani Israel. Kini Zionislah yang memegang kuasa mengemudi kaum Yahudi dan ternyata menjadi watak penting sebagai perosak muka bumi. Jelas, nyata dan terang bahawa ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan 1446H dahulu telah menceritakan kisah-kisah mereka yang bukan sahaja kufur malah menjadi perosak di muka bumi. Mengapakah lagi tidak percaya dan beriman dengan Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui atas segalanya?
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –OKT 2023 dan Tinta Artikulasi Membina Ummah, Vol. 1(1) - UKM
Comments
Post a Comment