SERANGAN PEMIKIRAN LIBERAL MEMBENTUK KEKELIRUAN AKIDAH DAN SYARIAT BAGI UMAT ISLAM YANG RAPUH PEGANGANNYA
Pegangan akidah yang goyah dan jati diri Muslim yang rapuh menjadi punca munculnya aliran yang mendakwa diri muslim namun secara praktikal dan falsafah hidup terpesong dari landasan agama. Golongan ini mempunyai pemikiran yang menuntut kepada keterbukaan dalam berijtihad dengan meletakkan akal pada tempat yang paling tinggi sehingga meminggirkan pegangan utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah.
Proses globalisasi dan dunia tanpa sempadan secara langsung telah mendedahkan masyarakat Islam dengan pelbagai perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk. Apabila berlakunya pertembungan aliran pemikiran, pengaruh yang inginkan kebebasan ideologi semakin diterima dan menyusup masuk dalam pelbagai bidang kehidupan. Ideologi liberal seperti ini semakin berkembang ke serata tempat dan peluang ini digunakan oleh golongan tertentu untuk dijadikan bahan dengan matlamat merosakkan akidah umat Islam.
Oleh sebab itulah apabila pelbagai serangan pemikiran menyerap masuk dalam pemikiran seseorang sama ada melalui saluran media, komunikasi, internet dan lain-lain, didapati umat Islam khususnya sukar untuk menolak melainkan mereka yang mempunyai kefahaman yang jelas tentang agama Islam dan pengajarannya. Justeru itu, mantapkan akidah agar tertepis segala anasir yang memesongkan.
Akibat pengaruh liberal Barat tersebut, muncul seruan kebebasan daripada sebarang ikatan agama yang akhirnya gerakan dan fahaman ini semakin berkembang sehingga akhirnya menjadi satu agenda baru kepada kuasa Barat untuk melebarkan kefahaman in ke dalam budaya dan masyarakat Islam. Akhirnya, aliran ini menjadi satu agenda penjajahan Barat ke atas dunia Islam yang bertujuan mahu menguasai dunia seluruhnya.
Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Penyelidikan Sirah Nabawi & Pemikiran (ISRA’) – Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Comments
Post a Comment