Insiden pukul memukul di antara seorang lelaki dan seorang penunggang motosikal di Klang pada minggu lalu adalah bukti bahawa seseorang itu acap kali merasa sombong dan takbur apabila mereka merasakan diri mereka kuat hingga terlupa bahawa Allah SWT itu Maha Kuat di seluruh alam. Insiden tersebut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 21 tahun itu mengalami patah dan retak tulang rahang ke lapan sebelah kiri.
Inilah akibatnya apabila kita sudah merasakan diri kita terlalu kuat hingga lupa bahawa kifarah Allah SWT itu sentiasa ada. Takbur atau sombong, bongkak dan angkuh adalah antara sifat keji yang dilarang oleh Islam kepada umatnya. Ini kerana sifat tersebut membawa padah dan akibat yang buruk, bukan sahaja kepada dirinya sendiri, bahkan juga kepada bangsa dan negaranya. Takbur itu ialah sifat memandang rendah, jijik dan hina kepada orang lain terutamanya kepada orang yang kurang bernasib baik dan miskin dari segi hartanya, ilmunya atau keturunannya. Malah, Allah SWT mengharamkan sifat takbur ini daripada dihiasi dalam peribadi Muslim yang bertakwa kepadaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur." (QS Al – Nahl: 23).
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman maksudnya:
"Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan kamu tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (QS Al – Isra’: 37).
Maksud ayat tersebut secara jelas Allah SWT melarang umat Islam bersifat takbur. Bukankah Iblis dan sekutunya syaitan menjadi kafir akibat dari sifat kesombongan dan keangkuhan yang menguasai diri. Sifat sombong dan angkuh itulah yang menyebabkan Iblis menjadi makhluk yang terkutuk sepanjang masa. Keangkuhan Iblis terserlah dalam bentuk keengganannya untuk memberikan penghormatan kepada Nabi Adam AS kerana dia merasakan kejadian dirinya lebih baik berbanding dengan kejadian Nabi Adam AS. Akibatnya, Iblis dihalau keluar dari syurga dan seterusnya kesombongannya itu hanya mengundang laknat dan kutukan dari Allah SWT kepadanya.
Melihatkan kepada bahayanya sifat takbur dan sombong dalam kehidupan ummah sejagat, maka setiap Muslim sewajibnya memelihara diri agar tidak menghiasi dirinya dengan sifat keji tersebut. Untuk itu, setiap Muslim dituntut bersifat tawaduk yang bererti merendah diri dengan disusuli perasaan hormat menghormati antara satu sama lain, tiada perasaan tinggi rendah maupun mulia dan hina. Sifat tawaduk ini adalah sifat lawan kepada takbur yang dilarang oleh Allah SWT.
Setiap Muslim seharusnya menginsafi hakikat asal usul dirinya dari tanah dalam usahanya untuk memerangi sifat takbur dari terus bersarang dalam lubuk hatinya. Apabila dia sudah menyedari akan hakikat dirinya, maka dia akan merasakan dirinya tidak layak memiliki sifat takbur tersebut kerana sifat takbur, kebesaran dan keagungan itu sebenarnya hanyalah milik mutlak Allah SWT sahaja.
Sumber: Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Comments
Post a Comment