USAH TERTIPU DENGAN AJARAN KARUT TAREKAT AL-NAQSYABANDIAH AL-KHALIDIYYAH!!! MEMPERCAYAI KEMUNCULAN IMAM MAHDI DI MEKAH PADA HARI ARAFAH
Tarekat merupakan salah satu amalan kerohanian yang melibatkan pelbagai cara atau amalan sama ada melalui zikir dan ibadah tertentu untuk membentuk sahsiah seseorang yang beragama Islam dan mempunyai matlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Oleh sebab itu, pada asasnya seseorang yang beragama Islam yang mengamalkan tarekat tertentu itu adalah tidak salah dan dikatakan adalah lebih baik atas asbab mencapai matlamat yang disebutkan.
Namun begitu, seseorang yang mengamalkan tarekat perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam terutamanya dalam perkara-perkara berhubung dengan tasawwuf supaya pengamalannya tidak tersesat dan diterima oleh Allah. Sekiranya tidak, maka ia akan menimbulkan kekeliruan dan seterusnya boleh memesongkan akidah seseorang yang mengamalkannya.
Sebagai contoh dalam ajaran sesat Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah yang diasaskan oleh Habib Shah Firdaus. Ideologi tarekat ini telah menjanjikan kemunculan Imam Mahdi di Mekah pada Hari Arafah kepada pengikutnya. Atas rasa percaya kepada tok gurunya dan keyakinan yang teguh terhadap ideologi ajaran tersebut, para pengikut ajaran ini sanggup bergadai aset masing-masing seperti tanah, kereta dan barang berharga lain semata-mata untuk bertemu dengan Imam Mahdi di Mekah. Oleh sebab itu, mereka sanggup menetap di Mekah dalam tempoh yang lama secara tidak sah walau pergi atas ‘tiket’ untuk mengerjakan umrah demi menunggu Hari Arafah yang dijanjikan kemunculan Imam Mahdi.
Bukan itu sahaja, kewujudan markas tarekat ini yang didakwa beroperasi di Kampung Jawa, Labu, Negeri Sembilan ini menunjukkan bahawa pengikutnya bukan hanya seorang dua, malah telah mencapai angka ratusan orang. Sedangkan sebelum ini telah banyak isu-isu ajaran sesat terutamanya yang berkaitan dengan kemunculan Imam Mahdi didedahkan sama ada oleh pihak media atau oleh para netizen di sosial media, namun mengapa masih ada lagi yang percaya dengan dakwaan karut ini?
Modus operandi Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah ini pun terbongkar susulan pengikutnya membuat aduan tertipu dengan dakwaan kemunculan Imam Mahdi di Mekah setelah harta tergadai bagi menampung kos perjalanan ke Mekah.
Berdasarkan daripada kenyataan ini, suka diingatkan kepada seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia, janganlah mudah percaya dengan perkara-perkara yang meragukan seperti kemunculan Imam Mahdi ini. Memang benar kemunculan Imam Mahdi itu pasti, namun kajilah al-Quran sebaiknya supaya tahu tanda-tanda yang betul dan seterusnya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- OKT 2023, Kertas Seminar, 3rd International Seminar on Islamic Thought, UKM dan Utusan Malaysia – 19 OKT 2023
Comments
Post a Comment