Setiap daripada kita di muka bumi ini khususnya umat Islam sudah pasti ingin hidup yang tenang, bahagia dan berjaya. Dalam mengejar nikmat dunia, mungkin kadang kala kita lalai hingga terlupa mengejar nikmat akhirat yang lebih besar di sana nanti. Namun begitu, ada juga di kalangan kita yang hidupnya terasa kosong walaupun sudah mengecap pelbagai kejayaan, kekayaan dan kemahsyuran dalam hidup. Soal ini mungkin berkait rapat dengan amalan kehidupan kita hingga kehilangan keberkatan dalam hidup.
Antara sifat kepemurahan Allah SWT, Dia menyediakan keberkatan untuk hambaNya. Bagi memperoleh keberkatan itu, kita perlulah berusaha mendapatkannya sama ada dengan berdoa memohon kepada Allah SWT secara langsung, melaksanakan amalan baik tertentu atau dengan meraih keberkatan yang Allah SWT letakkan kepada makhlukNya (bertabarruk). Melalui mana-mana cara berkenaan, dengan izin Allah SWT mereka akan beroleh keberkatan daripadaNya.
Antara amalan – amalan bagi mendapatkan keberkatan hidup oleh Allah SWT adalah:
1) Berzikir. Amalan berzikir akan memberikan semangat dan banyak urusan kita akan dipermudahkan Allah SWT.
2) Menghafal al – Quran. Orang yang menghafal al-Quran lazimnya akan menggunakan waktu pagi kerana pada waktu itulah otak akan mudah menerimanya. Jika dilakukan dengan penuh fokus dan penghayatan, kita akan mendapat kebaikannya bukan hanya sepanjang hari, bahkan sepanjang hidup.
3) Perlu Ikhlas dan bersungguh – sungguh. Jika melakukan sesuatu perkara, lakukanlah dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kita mungkin tidak nampak kesannya sekarang tapi percayalah, Allah akan memberikan ganjarannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
4) Mandi sebelum Subuh. Mandi sebelum Subuh akan memberikan satu tenaga yang segar untuk memulakan hari baru.
5) Solat Dhuha. walaupun hukumnya hanya sunat muakkad atau sunat yang dituntut, namun ia menjadi amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Oleh itu, marilah kita amalkan dan contohi apa yang dilakukan oleh Baginda SAW hingga menjadi rutin dalam hidup kita. Semoga seumur hidup kita memperoleh keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT, di dunia dan akhirat, In Shaa Allah.
Sumber: Blog Denai Hati
Comments
Post a Comment