“Aku tak solat, tapi aku berjaya”. “Kau solat sunat tapi kaya ke? Aku tak solat sunat tapi kaya – raya”. “Aku buat maksiat pun boleh cemerlang”. Inilah contoh istidraj yang dialami oleh sesetangah manusia yang terlalu angkuh dengan kekuasaan Allah SWT yang telah memberi mereka nikmat kehidupan namun sebaliknya mereka kufur nikmat tersebut.
Istidraj adalah harta atau pemberian yang tidak diredhai Allah SWT untuk menyesatkan lagi sesetangah umat manusia dengan tujuan untuk menguji keimanan mereka. Istidraj juga merupakan azab yang tertunda. Allah tidak menghukum terus kemungkaran yang dilakukannya tapi sekiranya tidak bertaubat Allah akan menghukumnya di akhirat kelak. Istidraj daripada Allah SWT terhadap hamba difahami sebagai ‘hukuman’ yang diberikan sedikit demi sedikit dan tidak diberikan langsung. Allah SWT membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman Allah SWT:
“Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (QS Al – Qalam: 44).
Ingatlah, sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menghalang kita mencari kejayaan tetapi cuba kita fikirkan sejenak, sejauh mana ikhlas dan betulnya jalan yang kita ambil untuk mencapai sesuatu kejayaan itu? Ambillah pengajaran dari kisah Qarun iaitu orang yang terkaya ketika zaman Nabi Musa AS. Dialah manusia yang mendapat istidraj daripada Allah SWT sehingga kematiannya tidak berpisah dengan harta yang dimiliki. Akhirnya Allah SWT telah menghina kematiannya dengan menenggelamkan ke dalam bumi bersama harta kekayaannya.
Kurniaan Allah biasanya diisi sebelum dan selepasnya dengan ketakwaan, kebaikan dan ketaatan. Hal ini sepertimana seseorang yang rajin melakukan solat malam, rajin bersedekah, rajin melakukan Solat Dhuha, kemudian Allah SWT melimpah ruahkan rezekinya. Maka itu kita namakan sebagai kurniaan atau karamah.
Justeru, jangan persiakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagi yang sedang diuji dengan kesempitan hidup, yakinlah nikmat Allah SWT akan datang dalam pelbagai bentuk kerana Allah tidak sesekali menzalimi hambaNya yang beriman. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (QS Ali ‘Imran: 102).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment