HALLOWEEN HARAM DISAMBUT OLEH UMAT ISLAM - APA ALASAN AKHBAR SIN CHEW DAILY MENERBITKAN ARTIKEL UNTUK MENYINDIR UMAT ISLAM BERKENAAN PERAYAAN INI?
Halloween adalah sebuah tradisi perayaan malam pada setiap 31 Oktober di sebilangan besar negara-negara dunia, terutamanya di negara-negara Barat. Perayaan tersebut selalunya disambut pada waktu malam selain dilakukan dengan berpakaian aneh dan berjalan dari pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat dengan berkata “Trick or treat!”. Ucapan “Trick or treat!” merupakan semacam “ugutan” yang membawa maksud “Beri kami (gula-gula) atau kami buat kacau.”
Namun bagi umat Islam, perayaan ini adalah diharam untuk disambut kerana tiada istilah dalam ajaran Islam untuk menyambut kepulangan roh orang yang telah meninggal dunia. Apa yang menjadi isu pada ketika ini adalah tentang artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang mempersoalkan atau lebih tepat sekali menyindir tentang agama Islam yang tidak menyambut perayaan tersebut dengan tajuk utama “HARAM UNTUK MUSLIM MENYAMBUT HALLOWEEN”.
Satu pertanyaan kepada penulis dan juga editor akhbar terbabit, apa masalah anda apabila Muslim diharamkan menyertai Halloween dan sambutan – sambutan lain? Anda ‘rajin’ mengkaji mengapa Muslim diharamkan untuk menyambut perayaan ini sedangkan ‘malas’ atau mungkin lebih tepat dengan sengaja tidak mengkaji tentang agama lain seperti Kristian dan Buddha yang juga tidak menyambut perayaan sedemikian. Agama Kristian misalnya, sebahagian penganutnya yang taat akan agama tidak akan menyambut perayaan Halloween kerana mereka juga berpendapat roh orang yang meninggal akan ‘ditempatkan’ di suatu tempat sehingga dibangkitkan semula. Begitu juga dengan agama Budhha yang mempercayai sesiapa yang dilahirkan dalam alam hantu adalah sesuatu yang malang.
Kepada golongan bukan beragama Islam, tidak menjadi masalah sekiranya anda tidak mahu belajar mengenai Islam, tetapi memadailah anda semua untuk tidak menyibuk atau menyindir ajaran Islam dan golongan Muslim. Kami sebagai Muslim hidup dengan prinsip al – Quran dan As – Sunnah iaitu tidak campur tangan dalam urusan agama lain kerana kami menghormati kepercayaan anda berdasarkan toleransi keagamaan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Kami golongan Muslim telah diperingatkan untuk tidak menyerupai sesuatu kaum yang tidak selari dengan ajaran Islam seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud).
Jika tujuan anda adalah semata – mata kerana toleransi, maka ingatlah bahawa tolak ansur dan toleransi adalah kita memahami sesama kita mempunyai agama yang berbeza, gaya hidup yang berbeza dan budaya berbeza lalu kita menghormati hak satu sama lain untuk mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan undang – undang negara. Kesatuan tidak bermaksud keseragaman, tidak semestinya kita mesti meraikan atau merayakan semua sambutan bersama baru dikira bertoleransi.
Sumber: Saluran Telegram Firdaus Wong Wai Hung
Comments
Post a Comment