HATI-HATI DENGAN DAKWAAN AJARAN SESAT YANG BERTOPENGKAN IMAM MAHDI


Umat Islam sememangnya tahu bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah turunnya Imam Mahdi AS. Rentetan itu, sudah pasti ramai yang ternanti-nanti kemunculan Imam Mahdi agar keadilan dan kemenangan Islam dapat ditegakkan di muka bumi ini. Maka timbullah pelbagai dakwaan serta ramalan termasuklah mengakui diri sebagai Imam Mahdi yang diutuskan kepada umat Islam yang akhirnya mengelirukan dan memesongkan umat Islam yang lemah imannya.

Ajaran sesat yang dikaitkan dengan Imam Mahdi bukanlah baru. Bahkan ajaran ini boleh bersifat radikal dan menjadi ganas. Contohnya, pada tahun 1979, seorang yang mengakui dirinya Imam Mahdi telah mencederakan imam Masjid Rapat Setia dan seramai lapan orang ahli kumpulannya telah terbunuh dalam serangan di Balai Polis Batu Pahat. Pada tahun 2012, berlaku kejadian amuk di Putrajaya yang dikaitkan dengan Imam Mahdi, mengakibatkan seorang terbunuh. 

Kini, ajaran sesat Tarekat al-Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah yang diasaskan oleh Habib Shah Firdaus juga mengakui diri sebagai Imam Mahdi. Ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir turut mempengaruhi ratusan pengikutnya untuk tinggal di dalam hutan, menjual harta dan menyeru untuk menyediakan kelengkapan perang rentetan mempercayai Imam Mahdi telah muncul.

Justeru itu, janganlah terlalu percaya dan taksub terhadap dakwaan atau ramalan yang tidak berasas itu. Sedangkan persiapan kita dalam menanti kedatangan Imam Mahdi adalah ilmu dan amal yang menjadi senjata ampuh untuk menyelamatkan kita di akhir zaman ini daripada terpengaruh dengan dakwaan dan ramalan palsu yang sering muncul. Sejarah juga telah membuktikan bahawa ajaran sesat boleh bertukar menjadi gerakan radikal dan ganas jika tidak dibanteras pada peringkat awal. Maka, berhati-hatilah dan tetaplah berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai tonggak pegangan Islam bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –NOV 2023 dan Jabatan Agama Islam Perak


 

Comments