KEPELBAGAIAN AGAMA LAMBANG KEUNIKAN MALAYSIA NAMUN MELAYU-ISLAM JANGAN MENGAMBIL KESEMPATAN MENGGUNAKAN ‘HAK KEBEBASAN’

 

Sememangnya Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai agama. Sementara rakyat mengamalkan agama-agama berlainan seperti agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain kepercayaan. Manakala orang Melayu hanya menganut satu agama iaitu Islam. Adalah asing bagi pemikiran orang Melayu bahawa seorang berbangsa Melayu itu bukan beragama Islam. Untuk menjadi seorang Melayu, maka ia mestilah beragama Islam seperti mana definisi ‘Melayu’ menurut undang-undang dan Perlembagaan.

Bertitik tolak dari evolusi sejarah masyarakat negara ini yang bermula dengan kerajaan Melayu, kemudian dijajah oleh kuasa-kuasa asing, selain aspek perkembangan pola kehidupan dan kependudukan masyarakat, maka tidak hairanlah jika masalah pertukaran agama berlaku di negeri-negeri di Malaysia. Sejarah telah menunjukkan proses Kristianisasi yang dilakukan oleh gerakan misionari telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511M lagi. Ini kerana mereka berazam untuk menukarkan agama orang Melayu kepada agama Kristian.

Pengaruh sosial dari zaman dulu ini telah mempengaruhi perkembangan sosial semasa di mana masyarakat Melayu kini lebih berani untuk menukar agama tanpa segan silu dan mengisytiharkan secara terbuka pendirian agamanya atas faktor hak kebebasan. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka bukan sahaja boleh dikenakan tindakan dari segi undang-undang kerana telah melanggar perlembagaan iaitu maksud Melayu sebagai Islam, bahkan jelasnya terpesong akidahnya. 

Sesungguhnya gejala murtad ini perlu dilihat sebagai satu bentuk ancaman yang sangat membahayakan akidah masyarakat dan membawa kepada kehancuran umat Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al- Imran, ayat 85, maksudnya:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelakdari orang-orang yang rugi.”

Sumber: Kertas Projek Vot RMC - UTM


Comments