KONTROVERSI DRAMA SURAT DARI TUHAN - KONSPIRASI BARAT MENYUSUP TEORI BERUNSUR LIBERAL BERJAYA MEMPENGARUHI PEMIKIRAN UMAT ISLAM TANPA SEDAR

 


Nabi SAW mengkhabarkan bahawa di akhir zaman kelak akan muncul pelbagai fitnah, bukan sahaja konspirasi daripada musuh Islam, malah termasuk juga daripada umat Islam sendiri. Kesan fitnah ini akan menyebabkan keruntuhan akidah, maksiat berleluasa dan sanggup menggadaikan agama demi sedikit habuan dunia. 

Sebagai contoh, dalam sebuah drama Melayu bertajuk ‘Surat dari Tuhan’ telah mencetuskan kontroversi dan kecaman hebat akibat dari dialog yang melampaui batas melibatkan agama. Penggambaran beberapa babak drama yang dijalankan di Mekah bukanlah sesuatu yang baru, namun dialog yang berlatar belakangkan Tanah Suci, Mekah seperti:
 “…depan Makam Rasulullah ni aku cakap depan muka kau, kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat Tanah Haram ini kau mampus…”  
Bukan babak itu sahaja yang dikatakan melampau, bahkan ada satu babak di dalam bas di mana seorang ustaz sedang memberikan penerangan ketika di Mekah telah dimarahi supaya mempercepatkan perjalanan dan turut mengutuk tempat yang dilalui mereka busuk.

Oleh sebab itu, hendaklah berwaspada dalam menghadapi situasi akhir zaman. Janganlah terlalu taksub kepada habuan dunia agama dipandang enteng. Sebagaimana dalam isu ini, drama-drama yang sudah tentu ditayangkan pada peringkat umum pasti mempunyai kesan kepada para penonton terutamanya yang beragama Islam. Adabnya, di Tanah Haram segala percakapan dan perbuatan serta niat seharusnya baik belaka. Meskipun itu hanyalah lakonan, namun ianya tidak wajar dilakukan dan dipertuturkan. 

Oleh kerana terpengaruh dengan gaya sutradara negara Barat yang boleh melakukan apa sahaja babak di tempat ibadat mereka, namun sebagai umat Islam janganlah terpesona dengan teori konspirasi tersebut kerana tanpa disedari fahaman liberal telah merasuk minda umat Islam sehingga tidak dapat memastikan ‘do and dont’ sesuatu perkara. Dalam apa jua bidang diceburi, pastikan agama tetap dipegang teguh, lebih-lebih lagi sebagai ‘public figure’, seharusnya menggunakan kesempatan ini untuk menyebarkan kebaikan dan mengangkat agama Islam bukan sebaliknya demi keuntungan dunia.    

Rasulullah SAW bersabda:
“Segeralah kalian beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita. Di pagi hari seorang lelaki dalam mukmin, lalu kafir di petang harinya atai di petang hari seorang lelaki dalam keadaan mukmin, lalu kafir di pagi harinya. Dia menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia.” [Riwayat Muslim]

Sumber: Institut Kajian Hadis dan Akidah – Universiti Islam Selangor

Comments