NORMALISASI HIBURAN MENGIKUT BUDAYA BARAT MENGGAMBARKAN MINDA UMAT ISLAM SEBENARNYA TELAH DIJAJAH


Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada metod dakwah yang digunakan oleh para ulama dalam mengembangkan dakwah Islam. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya menarik perhatian manusia dengan seni yang berkiblat iaitu tidak menjuruskan umat Islam khususnya anak muda kepada ‘sensate culture’, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Contohnya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif. Di zaman kebangkitan Islam, kumpulan anak muda Islam giat menentang konsert-konsert sehingga menimbulkan kebimbangan kerajaan sekular di pelbagai negara umat Islam. Misalnya mereka pernah menentang konsert Scorpions, Metallica dan lain-lain artis luar mahupun dalam negara. Namun kini tidak ada lagi semangat seperti itu dalam kalangan anak muda Islam. Malah menormalisasi dosa dan penyuburan budaya hedonisme serta berfikiran bebas dalam mentafsir syariat. Bukankah itu agenda liberal Barat yang ingin menguasai umat Islam melalui penjajahan minda?

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. Zaman yang menuju ke akhirnya sudah tentu dipenuhi dengan fitnah dan dajjal adalah fitnah terbesar. Rasulullah SAW banyak kali berpesan kepada umatnya agar mempersiapkan diri untuk menghadapi fitnah dajjal. Sedarlah bahawa, apabila agama, ilmu dan amal tidak ada dalam diri seorang insan yang beragama Islam, maka berbondong-bondonglah mereka mengikuti dajjal tanpa sedar. Justeru itu, tidak salah untuk berhibur tetapi perlulah memilih hiburan tersebut agar tidak terlepas dari sempadan agama.

Sumber: Dr Riduan Mohamad Nor – LESTARI dan Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir – Berita Harian


 

Comments