PEMAKAIAN NIQAB BUKAN TREND FAHAMI PEMAKAIAN NIQAB DARI SUDUT AGAMA


Sejak kebelakangan ini, trend wanita Muslimah mengenakan niqab semakin popular dengan alasan kononnya ingin menjaga kehormatan dan melindungi aurat seperti yang diperintahkan di dalam agama Islam. Memang benar niat mereka untuk menurut perintah agama dengan mengenakan hjab dan niqab, tetapi mengapa ada segelintir daripada golongan Muslimah menjadikan pemakaian puteri Rasulullah SAW, Saidatina Fatimah Az – Zahra sebagai sebuah ‘content’ di media sosial? 

Terlalu banyak dapat kita lihat di platform media sosial pada hari ini bagaimana sebilangan Muslimah menjadikan niqab ini ‘content’ mereka. Tidak cukup hanya itu, mereka mengadakan siaran secara langsung (live) di waktu tengah malam dengan mengenakan niqab tetapi mengenakan alis mata yang keterlaluan, menggunakan penggunaan suara yang manja demi menarik perhatian penonton yang tinggi dan bermacam – macam lagi. Itu tidak termasuk apabila mereka beramah mesra dengan golongan ajnabi. 

Perlu kita ketahui, tujuan asal pemakaian niqab ini adalah untuk mengelakkan dari timbulnya sebarang fitnah. Jika seseorang wanita itu bimbang kepada fitnah, maka boleh menutup wajahnya untuk menjaga dirinya. Khususnya, bagi menjaga kehormatan dan mengelakkan perkara yang tidak diingini. Para ulama berpendapat wajib menutup wajah dan tapak tangan jika bimbang membawa kepada fitnah dan syahwah.

Namun, di dalam ajaran agama Islam sudah dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi itu adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An – Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Sekiranya ada di kalangan Muslimah yang ingin memakai niqab, ada beberapa adab yang perlu dipatuhi:

1) Berniqab dengan niat kerana Allah SWT.

2) Berniqab dan perlu tunjukkan akhlak yang baik.


3) Berniqab dengan menepati hukum syarak.

4) Jangan berniqab tetapi menggoda.


5) Berniqab tetapi jangan sekejap pakai sekejap buka.

Ingatlah wahai Muslimah, jaga kehormatan diri kita dengan pemakaian niqab dengan istiqamah dan bukannya untuk tujuan berbangga – bangga dan menggoda golongan ajnabi. Jangan pakai hanya kerana trend, jangan jadi seperti ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Jangan kerana kita, fitnah kepada pemakaian pula yang disalahkan. Jika tidak mampu menanggung ‘beban’ pemakaian niqab, mula dengan berlatih secara perlahan – lahan. In shaa Allah, lama – lama hati kita akan faham maksud sebenar tujuan pemakaian niqab dari sudut agama Islam.

Sumber: Maktabah Al - Bakri


 

Comments