ROSAK JATI DIRI UMAT ISLAM JIKA TIDAK MEMPERKASAKAN PERUNDANGAN SYARIAH

 

Melihat wujudnya trend di mana penganut agama Islam itu sendiri enggan menerima keabsahan peruntukan-peruntukan di bawah enakmen Syariah, maka amatlah tidak janggal untuk kita fahami mengapa prejudis terhadap martabat Mahkamah Syariah masih dipersoalkan sehingga ke hari ini. 

Undang-undang Syariah tidak dilihat membentuk jati diri masyarakat Islam itu malah ada yang merasa segan atau malu dengan kewujudan undang-undang syariah meskipun acap kali peruntukan Syariah adalah lebih lembut atau longgar dalam menetapkan hukuman.

Sebagai contoh, hukuman di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 377A, sedangkan hukuman di bawah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) menetapkan denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau tidak melebihi enam sebatan. Jika dibandingkan di antara kedua-dua peruntukan ini, tidak masuk akal untuk mana-mana orang Islam memilih untuk dituduh di bawah Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman yang lebih tinggi berbanding Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Sungguhpun banyak pihak yang sudah berkali-kali melontarkan saranan agar kuasa Mahkamah Syariah dapat diperkasakan, namun saranan ini masih belum cukup memaksa kerangka sistem perundangan Malaysia untuk mengarusperdanakan kehakiman Syariah. Kemasukan pemahaman liberal dan pemahaman-pemahaman Barat sedikit sebanyak telah merosakkan jati diri orang Islam yang semakin tidak malu untuk mencabar kedudukan undang-undang Syariah malah dengan angkuh memperlekehkan kedudukan kehakiman Syariah di negara ini.

Sumber: Biro Undang-Undang Hak Asasi WAFIQ


Comments