SINDROM “SUKA TAYANG” DI MEDIA SOSIAL UJIAN ALLAH SWT KEPADA ORANG YANG DIBERIKAN NIKMAT


Sejak kebelakangan ini, sindrom “suka tayang” dan bermegah – megah di laman sosial menular di kalangan umat manusia terutamanya umat Islam. Ini terjadi di kalangan pempengaruh (influencer) yang mempunyai nama dan juga sebahagian selebriti. Ini adalah ujian buat mereka yang diberikan sedikit nikmat yang lebih berbanding orang lain. Ujian keimanan, ujian yang Allah SWT turunkan kepada golongan yang mempunyai sedikit kelebihan untuk melihat sama ada kelebihan itu digunakan pada jalan yang sepatutnya ataupun tidak.

Sudah menjadi kebiasaan bagi umat manusia, bila mempunyai sedikit kelebihan, mereka riak, bangga, angkuh, lupa diri, lupa agama dan lupa kepada Sang Pemberi Nikmat, Allah SWT. Bila ditegur, angkuh dengan alasan ingin menjadi diri sendiri, hidup hanya sekali dan masih mahu berseronok. Allah SWT berfirman:

"Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)" (QS al-Qasas: 76).

Ambillah pengajaran daripada teguran Allah SWT melalui surah di atas. Allah SWT sangat membenci golongan seperti ini yang dianggap sombong serta kufur nikmat. Belajarlah bersyukur dan bersederhana kepada nikmat yang dimiliki dan pulangkan kembali pujian itu kepada Allah SWT. Jangan kerana perilaku “suka tayang” kita, Allah SWT menarik semula nikmat yang dikurniakan. Jangan tunggu apabila semua nikmat telah hilang, barulah di saat itu kita baru mencari Allah SWT, mencari agama, malu dan insaf. 

Apabila Allah SWT mengurniakan kita dengan sedikit kelebihan, kita seharusnya bersyukur dan berusaha untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Gunakan kelebihan kita itu untuk kelebihan dan apa yang Allah SWT redhai, bukan sampai lupa kepada yang Maha Kuasa. Firman Allah SWT: 

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (QS Ibrahim: 7).

Sumber: TikTok Dr. Kamilin Jamilin 
(https://www.tiktok.com/@drkamilinjamilin/video/7303856007778733313?_r=1&_t=8hd3bnPTJpa)


 

Comments