Tujuan Allah SWT mencipta manusia di muka bumi ini adalah kerana untuk beribadah kepadaNya dan kemudian apabila tiba masanya kembali ke alam akhirat, maka segala amalan itu akan dihitung dan penentunya adalah syurga atau sebaliknya. Semuanya tanpa terkecuali akan dihitung amalan masing-masing serta dikurniakan nikmat syurga bagi yang beriman dan diberi azab neraka bagi yang kufur. Kehidupan di dunia adalah tempat untuk manusia mencari keredhaan Allah SWT dengan beriman kepadaNya dan melaksanakan amal kebaikan. Allah SWT berfirman:
"Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)." (QS Al – Mulk: 2).
Jika hati kita mulai terasa kosong, maka carilah cinta Allah SWT. Cinta akan Allah SWT adalah kecenderungan hati seseorang kepada Allah SWT yang membuatkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kesukaanNya. Antara tujuh cara untuk menjadi hamba Allah SWT yang dicintai adalah:
1) Membaca al – Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
2) Mencintai Rasulullah SAW dan para kekasih Allah SWT. FirmanNya:
“Katakanlah: ” Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (QS Ali ‘Imran: 31).
3) Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan melakukan amalan sunnah dan zikir. Contoh ibadah sunnah adalah berzikir, bertahajud, solat dhuha, solat taubat, berpuasa, dan banyak lagi.
4) Melebihkan cinta kepada Allah SWT di atas kecintaan kepada perkara yang lain.
5) Menghayati dengan hati nama – nama dan sifat – sifat Allah SWT.
6) Bersahabat dan duduk dengan orang yang soleh di majlis ilmu.
7) Jauhkan diri dari perkara yang menjauhkan hati dari Allah SWT.
Justeru, marilah kita berdoa agar kita termasuk dalam kalangan hamba Allah SWT yang dinyatakan sebagai sedikit berada pada jalan yang benar. Jangan kita bertangguh lagi untuk meraih keredhaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Adil dalam berkasih sayang.
Sumber: Laman Web Tazkirah (https://tzkrh.com/20165408/)
Comments
Post a Comment