AMBILLAH IBRAH (PENGAJARAN) TERHADAP SITUASI GENTING DUNIA: BELILAH AKHIRAT, JUALLAH KESENANGAN DUNIA

 

Melihat kepada situasi genting yang berlaku pada ketika ini, ia semakin membimbangkan. Apatah lagi satu per satu peristiwa akhir zaman yang disebut di dalam al – Quran kini sudah mulai terjadi sedikit demi sedikit. Situasi melanda umat Islam di seluruh dunia memberi gambaran jelas dunia berada di penghujungnya. Sebagai umat Islam, kita wajib menginsafi diri dan sedaya upaya berusaha menjadi umat berkualiti dari sudut keimanan, akhlak dan perlaksanaan syariat dalam seluruh aspek kehidupan. 

Realitinya, kehidupan di dunia ini diumpamakan sebagai kesenangan yang sedikit atau kesenangan yang menipu jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat. Manakala kehidupan akhirat kekal abadi namun manusia sering terlupa mengenainya. Nabi SAW menggambarkan nisbah kehidupan manusia satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun di dunia. Bayangkan betapa lamanya tempoh bakal kita hadapi bagi kehidupan di akhirat kelak dan ia sepatutnya menginsafkan kita tentang berpada-pada dengan kesenangan dan godaan dunia. Allah SWT berfirman:

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)." (QS Al – Ankabut: 64).

Dalam realiti kehidupan umat Islam semasa, wajar bagi setiap umat Islam memperbaiki diri serta memperbanyak bekalan menuju ke destinasi hakiki. Apakah nilainya keseronokan sementara berpeleseran di dunia yang fana ini? Setiap yang bernyawa pasti menemui ajalnya dan hakikatnya kita berada dalam barisan yang menunggu giliran untuk dicabut nyawa oleh malaikat yang setia pada tuhannya. Jemputan ke negeri akhirat ini boleh menyapa sesiapa sahaja tanpa mengenal pangkat di dunia, usia yang dimiliki atau harta yang bertimbun di dunia. Dari sini, maka kehidupan akhirat lah yang sebenarnya penentu segalanya. Maka dari itu kejarlah akhirat seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:

“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.” (QS Al – Isra’: 19).

Apa yang pasti, umat Islam hari ini perlu berusaha tinggalkan segala keseronokan dan godaan dunia yang menipu semata-mata. Manfaatkan kehidupan yang masih berbaki di dunia ini sebagai bekalan di akhirat sana. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Ibnu Umar R.A, "Rasulullah SAW memegang kedua-dua bahuku sambil bersabda: 

"Hiduplah engkau di dunia seolah-olah orang asing atau pengembara." Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di petang hari, jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan semasa) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu." (HR Bukhari).

Sumber: Blog Isma (https://isma.org.my/kejarlah-akhirat-dan-bermujahadalah-untuknya/)


Comments