AWASI NIAT, PERBUATAN DAN PERKATAAN YANG DIUCAPKAN KERANA DIKHUATIRI TERJERUMUS KE LEMBAH KEMURTADAN

 


Riddah ialah seorang Islam telah kembali menjadi kafir dan orang yang riddah itu disebut sebagai murtad. Orang yang murtad di akhirat nanti tidak akan diampunkan oleh Allah dan mereka kekal di dalam neraka. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 137, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang telah beriman kemudian mereka menjadi kafir kemudian bertambah kufur mereka itu nescaya tiadalah Allah akan mengampunkan bagi mereka itu.”


Ada banyak sebab yang boleh menjadikan seseorang Islam itu menjadi murtad dan asasnya ialah sebab tiga perkara iaitu melalui niat, perbuatan dan perkataan. Contoh ialah ingkar hukum yang telah ijmak atasnya yang diketahui hukum itu oleh semua orang Islam dengan mudah seperti ingkar wajib zakat, puasa, haji, minum arak, makan riba, ingkar bahawa al-Quran kalam Allah dan sebagainya.


 Melakukan satu perbuatan yang khusus bagi orang-orang kafir seperti sujud kepada berhala dan mengerjakan upacara ibadah orang-orang kafir atau melakukan perbuatan yang menafikan orang itu berada dalam agama Islam seperti mencampakkan al-Quran dengan sengaja tanpa paksaan merupakan sebahagian daripada riddah.


Memaki agama Islam atau memaki Tuhan, menghina salah seorang dari sekalian Nabi atau dia berkata misalnya Islam ini tidak sesuai dengan kemajuan manusia, Tuhan tidak wujud, mewajibkan perempuan menutup aurat itu adalah peraturan yang menjadikan manusia mundur adalah antara contoh perkataan yang mewajibkan riddah sama ada tujuan perkataannya itu menunjukkan keyakinannya atau kerana marah atau kerana ingin mempersenda.


Justeru itu, berhati-hati dalam semua setiap niat, perbuatan mahupun percakapan dalam apa jua keadaan atau situasi kita berada kerana dikhuatiri tanpa sengaja kita sudah terjerumus ke lembah kemurtadan. Nauzubillahi min zalik.


Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Comments