BUANG SIFAT UJUB (BERBANGGA DIRI) SIFAT TERCELA YANG AKHIRNYA MEMAKAN DIRI DI KEMUDIAN HARI


Manusia dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat yang mana antara seorang dengan seorang lain ada perbezaan dan kelainannya. Ada antaranya yang dilimpahi potensi daya intelektual yang tinggi, ada pula yang dikurniakan dengan nikmat rupa paras yang cantik, dan pelbagai lagi nikmat yang Allah berikan kepada setiap hambaNya. Dalam mengingatkan manusia agar tidak taasub dan kagum dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri, maka Allah memberikan panduan kepada kita supaya mengawasi hati daripada terjerumus dalam bisikan syaitan yang meniupkan rasa bangga terhadap diri sendiri. Ujub adalah salah satu sifat tercela yang amat dimurkai Allah SWT dan sewajarnya kita berusaha supaya perasaan buruk ini tidak menetap di dalam hati kita. Allah SWT berfirman:

“maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (QS al-Najm: 32).

Ujub juga ialah satu penyakit yang sukar diubati. Ujub ini menyebabkan seseorang itu memandang diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran sebaliknya memandang orang lain dengan pandangan penghinaan. Tanda-tanda orang yang bersifat ujub ini ialah ia selalu berkata ‘aku begini, begini’. Ia menuruti sikap sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 12 yang bermaksud: 

“(Iblis berkata): Aku lebih baik daripadanya (Nabi Adam AS) kerana Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakannya daripada tanah.”

Sebenarnya perasaan ujub merupakan strategi syaitan dalam meruntuhkan iman Muslim kerana penyakit ujub begitu mudah dipasang dalam hati meskipun dia seorang yang berilmu pengetahuan agama yang luas dan mendalam. Tanggapan atau persepsi bahawa diri sendirilah yang lebih hebat berbanding orang lain merupakan petanda penyakit hati yang kronik dan seandainya seseorang tidak menyedari bahawa dirinya sudah hanyut dalam sifat mazmumah keji itu, maka dibimbangi segala amal ibadahnya dan kerja kebajikannya akan terlucut segala pahala di sisi Allah SWT.

Sesungguhnya penyakit ujub amat berbahaya kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja termasuk terhadap golongan ilmuwan Islam dan kepada para pendakwah. Hati-hatilah kerana penyakit ujub ini meskipun bersarang di hati, tetapi kelibat karakternya jelas menerusi lidah dan perbuatan seseorang. Ingatlah Islam sejak awal lagi sentiasa bertindak menutup segala ruang yang sekecil-kecilnya yang mana akhirnya dibimbangi akan mencetuskan kerosakan yang besar pada jiwa dan hati seseorang. 

Sumber: Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


 

Comments