GOLONGAN ATEIS MENCIPTA AGAMA PARODI UNTUK MEMPENGARUHI PEMIKIRAN MASYARAKAT BERAGAMA DENGAN DOKTRIN SESATNYA
Fenomena yang semakin parah telah dilakukan oleh golongan ateis apabila gerakan mereka mula banyak mendirikan agama parodi atau dikenali juga sebagai agama satira. Secara umumnya memang diketahui bahawa golongan ateis menentang golongan beragama yang mempercayai kepada kewujudan Tuhan.
Oleh itu, salah satu bentuk mereka mahu menyindir dan menyebarkan doktrin ateisme adalah dengan mencipta agama mereka tersendiri dengan berjenaka dan memperolok-olokkan konsep ketuhanan di dalam kepercayaan mereka sendiri agar masyarakat memahami bahawa konsep ketuhanan adalah tidak masuk akal.
Contohnya sebuah gerakan ateis yang bertapak di Amerika Syarikat telah mencipta agama parodi yang dikenali sebagai Pastafarianisme. Terdapat banyak kes penghinaan kepada agama lain yang melibatkan doktrin Pastafarian. Contohnya seorang Pastafarian bernama Giorgos Loizos ditahan di Greece atas tuduhan berniat jahat dengan mempersendakan agama Kristian dengan menghina seorang tokoh paderi Kristian Ortodoks di Greek. Begitu juga dengan kes-kes lain yang bersumberkan fahaman yang menghina dan mempersendakan kepercayaan agama. Ini kerana Pastafarian bukanlah sebuah kepercayaan atau sebuah keimanan, ia adalah sebuah agama parodi atau lebih bersifat sarkastik dengan menyindir golongan yang beragama dengan doktrin-dontrin mereka yang tidak masuk akal.
Begitulah juga di Malaysia, golongan ateis yang bertapak di Malaysia kebanyakannya akan menyindir dan memparodikan agama Islam sehingga berjaya menarik ramai golongan belia Melayu-Islam mempercayai doktrin-doktrin ateisme yang disebarkan. Sesungguhnya Islam adalah cara hidup yang terbaik yang sangat menghormati agama dan bangsa lain meskipun berbeza keimanan. Inilah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang menyantuni golongan lain dan tidak menghina, malah menunjukkan sifat-sifat yang mahmudah (baik) kerana dengan perbuatan mahupun percakapan yang lemah lembut juga termasuk dalam dakwah secara tidak langsung ‘mencairkan hati’ dan membuka pintu hidayah ke arah agama kebenaran iaitu agama Islam.
Sumber: R&D Team Multiracial Reverted Muslims
Comments
Post a Comment