ISU KES LANGGAR LARI CALON SPM : BARAN TIDAK BOLEH DIJADIKAN ALASAN KERANA ISLAM SUDAH MENGGARISKAN PANDUAN CARA MENGAWAL KEMARAHAN
Susulan kejadian seorang calon SPM yang dilanggar dan diseret sejauh lima meter oleh seorang pegawai kanan polis hingga maut pada jumaat lepas, ini sekaligus membuktikan bahawa perasaan amarah yang tidak terkawal boleh mengundang penyesalan seumur hidup. Di dalam sebuah hadis, larangan untuk “jangan marah” telah diulang oleh Baginda Nabi SAW beberapa kali. Di dalam sebuah hadis: seorang laki-laki berkata kepada Nabi, "Berilah aku wasiat?" Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi kata-katanya, beliau tetap bersabda,"janganlah kamu marah." (HR Bukhari).
Di dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari dan Muslim).
Apabila syaitan mula membisikkan dengan bisikan kejahatan disebabkan seseorang yang tidak dapat menahan kemarahannya maka seseorang itu akan melakukan tindakan-tindakan di luar batasan seperti memaki hamun, memukul dan ada yang sampai ke tahap membunuh disebabkan kemarahan yang tidak dapat dibendung.
Sebagai seorang yang beragama Islam, kita sudah diajar bagaimana untuk mengawal amarah kita. Antara tips untuk mengawal amarah seperti yang disarankan dalam Islam adalah seperti berikut:
1) Duduk jika sedang berdiri, baring jika sedang duduk.
2) Mengambil wudhuk. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.” (HR Abu Daud).
3) Mengelak daripada membuat sebarang keputusan besar yang memakan diri.
4) Diam. Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.
Ingatlah, jangan jadikan alasan baran sebagai tindak balas kita untuk kita mengambil tindakan dengan sesuka hati. Ambillah pengajaran ke atas peristiwa langgar lari ini. Bagaimana amarah yang tidak terkawal telah menyebabkan penyesalan yang seumur hidup hingga mendatangkan derita kepada kedua – dua keluarga, ibu bapa yang kehilangan anak harapan keluarga dan juga isteri yang kehilangan suami tempat bergantung.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment