ISU PREMIS DAN PRODUK PENSIJILAN HALAL JANGAN CETUSKAN SENTIMEN KEAGAMAAN DEMI MENJAGA KEHARMONIAN NEGARA


Prosedur sesebuah premis untuk mendapat pensijilan halal bagi sesuatu produk yang dijual bukanlah mudah. Banyak keperluan yang perlu dipatuhi dan pihak berautoriti iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pasti akan hadir ke premis terlebih dahulu untuk pemeriksaan bagi memastikan piawaian tercapai. 

Oleh itu, mana-mana produk yang telah mendapat pensijilan halal adalah dianggap membawa imej agama Islam. Contohnya isu tular di sosial media berkenaan penulisan ‘merry christmas’ di atas kek. Sekiranya premis tersebut telah diiktiraf pensijilan halal maka ianya tidak dibenarkan. Ibaratnya kedai makan cik kiah menaikkan kain rentang (banner):
 ‘Merry Christmas dari Restoran Makcik Kiah, Semoga Bergembira di Hari Krismas’
Kemudian ianya ditampal di hadapan restoran sedangkan restoran tersebut mempunyai sijil halal dan mempamerkan imej Islam (nama Cik Kiah). Sekiranya produk tersebut habis di makan seperti kek, biskut, agar-agar dan lain-lain yang mana tidak diletakkan di pembungkusannya logo halal, maka barulah ianya dibenarkan. 

Maka jelaslah bahawa setiap premis yang telah mendapat pensijilan halal tidak dibenarkan untuk berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang penghinaan, pencemaran mahupun kekeliruan kepada imej agama Islam oleh orang awam. Justeru itu, diharapkan dengan penjelasan ini tiada lagi sebarang kenyataan mahupun perbuatan yang membolehkan tercetusnya isu sensitif seperti sentimen keagamaan sebegini kerana setiap agama dan budaya di Malaysia yang berbentuk pluralisme (pelbagai) harus dihormati, dipelihara keharmonian dan kesejahteraan demi keamanan negara.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –DIS 2023 dan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments