KEWUJUDAN UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN MENJADI ASAS KEHARMONIAN NEGARA BERBILANG BANGSA DAN AGAMA

 

Kebebasan beragama merupakan hak yang dijamin bagi semua orang sama ada warganegara atau tidak di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 11. Namun pada masa yang sama agama-agama selain Islam dilarang untuk disebarkan kepada orang Islam secara tidak langsung menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada umat Islam berbanding agama-agama lain. 

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, undang-undang berfungsi untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran di mana semua kepercayaan boleh diamalkan secara aman, berdasarkan ajaran agama mereka. Namun, penganut agama bukan Islam yang mengetahui bahawa murtad atau perbuatan keluar daripada agama Islam itu suatu kesalahan akan memahami mengapa peruntukan sebegitu diperlukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang mana-mana negara digubal berlandaskan realiti semasa dan sejarah negara tersebut. Dalam konteks Malaysia, sejarah pelaksanaan perundangan Islam dan faktor majoriti penduduk beragama Islam tanpa mengira bangsa perlu diiktiraf dan diambil kira dalam merangka perlembagaan. Banyak perkara apabila dibahagi sama rata, tidak membawa keadilan. Keadilan boleh berlaku walaupun hak tidak diberi sama rata tetapi diberi bersesuaian dengan keadaan serta kewajaran sejarah Tanah Melayu sememangnya memaparkan sistem perundangan Islam yang bertapak lebih awal dan lebih menyeluruh pelaksanaannya. 

Oleh itu, tidak semestinya tidak adil apabila Perlembagaan Persekutuan memberi kelebihan kepada agama Islam dan penganutnya. Justeru itu, fahami sebaiknya perundangan mahupun perlembagaan yang pastinya ada sejarah disebalik penggubalannya, sebelum dikritik tanpa usul periksa. Seharusnya sebagai warga Malaysia, perlu adanya rasa bersyukur dengan nikmat yang tidak ada di negara lain kerana dengan keunikan bangsa dan agama masih lagi mampu hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai. 

Sumber: Kertas Kerja Persidangan Tuanku Jaafar – Fakulti Undang-Undang UKM


Comments